SUNGAI UDANG, 19 Ogos – Disarungkan beret hijau di kepala dan dianugerahkan pisau komando antara kenangan tidak dapat dilupakan bagi 78 orang pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) selepas mereka menamatkan latihan asas komando, sekali gus bergelar warga Gerup Gerak Khas (GGK).
19 pegawai dan 59 anggota daripada pelbagai kor dalam TDM ini turut berasa puas kerana mampu membuktikan mereka layak bergelar warga GGK selepas melepasi latihan asas selama 12 minggu.
Mereka dianugerahkan beret hijau dan pisau komando pada Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2023 yang disempurnakan oleh Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah di Pantai Betutu Laut, Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang, Melaka, hari ini.
Pada majlis itu, Leftenan Muda Mohd Saiful Al-Fikri Rosli dari Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) diumumkan sebagai Penuntut Terbaik Kursus kali ini.
Turut hadir, Pengarah Gerakhas, Brigedier Jeneral Mohd Fouzi Sulaiman, veteran GGK dan ahli keluarga penuntut kursus.
Adi Ridzwan dalam ucapannya mengingatkan kepada semua penuntut bahawa beret hijau adalah kemegahan warga GGK, lambang keagungan, keperwiraan serta mutu keperibadian yang tinggi nilainya.
“Saya ingin mengingatkan bahawa keagungan beret hijau yang saudara-saudara junjung di kepala perlulah sentiasa dipelihara dan dipertahankan hingga ke titisan darah yang terakhir kerana beret hijau merupakan maruah dan lambang kebanggaan Gerak Khas,
“Justeru, saudara-saudara perlu sentiasa membuktikan bahawa saudara-saudara semua benar-benar layak memakainya dengan terus kekal menjaga imej sebagai Special Forces Operators yang profesional dan kompeten,
“Adalah amat malang sekali jika beret hijau yang dianugerahkan kepada saudara-saudara pada hari ini terpaksa dilucutkan secara keji disebabkan oleh masalah tatatertib seperti penyalahgunaan dadah, tidak tadir tanpa cuti (THTC) atau melakukan perbuatan yang bertentangan dengan peraturan perkhidmatan,
“Oleh itu, jagalah maruah beret hijau ini daripada dicemari dengan perbuatan yang sia-sia yang mana akan merugikan segala pengorbanan saudara-saudara semua yang telah bertungkus lumus untuk mendapatkannya,” katanya.
Terdahulu, acara dimulakan dengan demonstrasi serbuan pantai dan menyelamatkan tebusan diikuti Perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas.
Turut dipersembahkan kepada orang ramai adalah demontrasi seni mempertahankan diri dari penuntut-penuntut Kursus Peningkatan Kombat Gerakhas SIRI 1/23.
Demonstrasi ini secara tidak langsung mempamerkan keupayaan trup Tentera Darat khususnya 11 RGK dan 21 GGK sebagai tunjang kedaulatan negara dalam menghadapi ancaman semasa selain perisai pertahanan negara. -airtimes.my