GAZIENTEP, 23 Feb – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menerima tepukan dan sorakan penghargaan dari rakyat Turkiye di Lapangan Terbang Gazientep di Turki selepas menamatkan misi mencari dan menyelamat (SAR) di negara itu.
Pasukan berkenaan dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas berada 14 hari di ground zero bagi melaksanakan operasi SAR di wilayah Gazientep, yang terkesan akibat gempa bumi pada 6 Februari lalu.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, pasukan MAS-01 SMART NADMA telah memulakan proses demobilisasi dari Turkiye setelah selesai menjalankan misi SAR di sana.
“Pasukan MAS-01 SMART NADMA telah menerima tepukan penghargaan dan ucapan terima kasih di Lapangan Terbang Gaziantep,” jelas NADMA.
terdahulu, pasukan ini mendapat perhatian rakyat Turkiye selepas berjaya menyelamatkan 5 sekeluarga yang terperangkap selama 6 hari dalam runtuhan bangunan kediaman mereka.
Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.30 tengah hari ini.
Malaysia telah menghantar seramai 70 anggota pasukan SMART ke Turkiye bagi membantu misi SAR mangsa gempa bumi di selatan Turkiye sebagai tanda solidariti.
Gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada 6 Februari lalu, meragut puluhan ribuan nyawa.
Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan. -airtimes.my