LONDON, 1 APR – Tentera Udara Diraja (Royal Air Force, RAF) United Kingdom telah menggugurkan 27 tan bantuan udara ke Gaza.
Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Pertahanan UK, Grant Shapps.
Menurut beliau, jumlah tersebut adalah yang terkumpul dari 3 operasi penguguran bantuan udara di Gaza dalam tempoh 1 minggu terakhir Mac.
“Pakej bantuan ini merangkumi bantuan makanan bagi meringankan beban krisis kemanusiaan di Gaza,
“UK komited untuk menghantar lebih banyak bantuan ke Gaza secepat mungkin,” katanya.
Operasi pengguguran bantuan udara UK dilaksanakan dengan menggunakan pesawat Airbus A400M.
Pelaksanaan operasi oleh UK merupakan sebahagian daripada usaha antarabangsa bagi memberikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza.
Selain pelaksanaan operasi ini, pihak UK telah menghantar 2,000 tan bantuan makanan melalui jalan darat. Selain itu, Hospital Medan UK turut ditubuhkan di Gaza dan dikendalikan oleh badan kebajikan British, UK-Med.
Negara Eropah itu turut membekalkan 600 payung terjun kepada Jordan dan Bahrain bagi melaksanakan operasi yang sama di Gaza. – airtimes.my
#AirTimes #UK #A400M #Gaza #Global