KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Projek pembinaan kem Tentera Darat di Taman Sri Skudai, Johor terpaksa dibekukan buat sementara bagi menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 21 Dis 2018.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, mahkamah telah memutuskan supaya Syarikat Kausar Consortium Sdn Bhd (KCSB) iaitu kontraktor yang bertanggungjawab membina kem itu membayar sejumlah ganti rugi bernilai RM 269.5 juta kepada kerajaan.
“Ia akibat daripada kegagalan mereka menyiapkan projek tersebut mengikut tempoh waktu yang ditetapkan iaitu pada 10 Jun 2001 walaupun syarikat ini telah diberi pelanjutan tempoh sehingga 10 Jan 2003,” katanya di Dewan Negara bagi menjawab soalan Senator Datuk Teo Eng Tee yang ingin tahu perkembangan terbaharu projek itu, semalam.
Ikmal Hisham berkata, Perjanjian Penswastaan Tiga Pihak Bagi Rekabentuk dan Pembinaan Kem Tentera di Skudai telah ditandatangani antara Kementerian Pertahanan pada 10 Julai 1997 dengan KCSB bagi projek pembangunan Kem 7 Briged di Skudai, Johor untuk tempoh 3 tahun bermula 10 Julai 1997 hingga 10 Jun 2001 dengan nilai projek RM256 juta.
“Bagaimanapun, projek ini terpaksa dihentikan pada Disember 2002 kerana KCSB menghadapi masalah kewangan dan hanya mampu menyiapkan 18.3 peratus daripada keseluruhan skop projek,
“Walaupun beberapa siri rundingan dibuat antara Kementerian Pertahanan dan KCSB dari tahun 2003 hingga 2007, namun ianya tidak menemui jalan penyelesaian dan atas faktor itu, notis penamatan perjanjian penswastaan telah dikuatkuasakan pada 11 April 2011,”jelasnya.
Lanjutan daripada itu, Ikmal Hisham berkata, Kementerian Pertahanan telah memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 April 2017 bagi membuat tuntutan ganti rugi kepada Syarikat KCSB demi melindungi kepentingan Kerajaan.
“Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember 2018 kemudiannya telah memutuskan nilaian ganti rugi berjumlah RM 269.5 juta yang perlu dibayar oleh Syarikat KCSB kepada pihak Kerajaan,
“Syarikat KCSB kemudian telah memfailkan Notis Rayuan, namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Persekutuan pada 8 September 2020. Namun, Syarikat KCSB masih gagal untuk mematuhi Notis Tuntutan sehingga hari ini,
“Sehubungan dengan itu, Kementerian Pertahanan terpaksa menangguhkan dahulu pelaksanaan projek pembinaan Kem Skudai di Skudai, Johor sehingga satu tempoh waktu bila Kerajaan dapat memutuskan tindakan selanjutnya berdasarkan kepada nasihat daripada Jabatan Peguam Negara,” tambahnya. -airtimes.my