LANGKAWI, 10 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis berjaya merampas 9 kilogram (kg) ketulan ganja mampat bernilai RM45 ribu yang dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran pada kedudukan 2.9 batu nautika barat laut Pulau Dangli, malam semalam.
Pengarah APMM Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, rampasan itu dibuat selepas Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) Langkawi mengesan pergerakan sebuah bot fiber masuk ke perairan negara dari sempadan Thailand dalam keadaan mencurigakan.
“APMM Kedah dan Perlis mengerakkan bot peronda yang sedang melakukan Op Aman ke lokasi bagi memintas dan menyerbu bot fiber itu,
“Menyedari kehadiran anggota APMM di lokasi, suspek bertindak membuang sebuah bungkusan guni ke laut dan menukar haluan untuk berpatah balik menuju ke arah sempadan Thailand,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Romli berkata, hasil pemeriksaan ke atas bungkusan guni yang dibuang itu mengandungi 9 ketulan ganja mampat yang diletakkan dalam plastik berwarna emas dengan berat 9 kilogram dianggarkan bernilai RM45 ribu.
Beliau berkata, semua hasil rampasan dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat. Manakala, kes disiasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam masa yang sama, Romli berkata, pihaknya akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal daripada sebarang pelanggaran undang-undang Persekutuan.
“Sebarang aduan dan maklumat serta insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” tambahnya lagi. -airtimes.my