GYERYONG-SI, 11 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dijemput untuk menyertai Gyeryong World Military Culture Expo 2022 oleh Kementerian Pertahanan Korea Selatan.
Ekspo ini diadakan pada 7 hingga 23 Oktober 2022 bertempat Cheongnam-do, Korea Selatan.
Pancaragam Pusat TUDM (PP TUDM) telah dipilih bagi mewakili ATM khasnya dan Kerajaan Malaysia khususnya untuk membuat persembahan yang berkonsepkan ketenteraan, kebudayaan serta gabungan bersama negara lain.
Ekspo ini turut menampilkan persembahan Pancaragam Tentera dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Vietnam, Mongolia, Thailand, Indonesia dan Perancis. Selain itu, turut diadakan pameran budaya, peralatan ketenteraan dan pelbagai program lain.
Menurut PP TUDM, seramai 5 orang pegawai dan 35 anggota telah terlibat dalam persembahan ini yang diketuai oleh Pengarah Cawangan Muzik dan Kesenian TUDM (MUKES), Leftenan Kolonel Mohd Salleh Wahab TUDM.
Manakala persembahan dipimpin oleh Mejar Mohd Rizal Mohd Noor TUDM sebagai Konduktor Muzik dan dibantu oleh Pegawai Waran Udara II Mohd Fairul Mahat sebagai Band Sarjan Mejar.
“Persembahan yang ditampilkan oleh PP TUDM pada ekspo ini adalah persembahan Ground Marching Performance (Kawad Formasi), Road Parade, dan Night Performance,
“Persembahan Kawad Formasi turut menggabungkan pelbagai elemen seperti drumline, nyanyian, silat dan fire show,
“Antara lagu-lagu yang dipersembahkan adalah Tanggal 31 Ogos, Wellerman, Mentera Semerah Padi, Boys With Luv, dan Kills This Love,” ujar PP TUDM.
Jelas PP TUDM, secara dasarnya penglibatan pegawai dan anggota dalam program seperti ini dapat memberi peluang menimba pengalaman baru serta bertukar-tukar pandangan termasuk meningkatkan kompetensi diri tentang budaya ketenteraan negara masing-masing.
“Penglibatan ini juga secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada PP TUDM sebagai duta kecil Malaysia dalam mempromosikan pasukan muzik dan kebudayaan TUDM dimata dunia,
“Pemilihan PP TUDM bagi mewakili ATM di dalam program ini adalah sebagai satu pengiktirafan tertinggi oleh pucuk pimpinan ATM kepada kemampuan dan kemahiran pemuzik TUDM,” tambah PP TUDM.-airtimes.my