KUALA LUMPUR, 5 Mac – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata tiga individu telah ditahan dan seorang lagi suspek diburu polis berhubung kes menghina agama Islam, Nabi Muhammad S.A.W dan isteri baginda, Saidatina Siti Aisyah.
Sehingga hari ini, polis telah menerima 929 laporan dan membuka sebanyak 16 kertas siasatan berhubung kesalahan berkenaan.
Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek pertama Mohd Sharulnizam Stanley Sigan, 29, ditahan di Labuan, pada Ahad (3 Mac) lepas.
“Mohd Shahrulnizam menggunakan Facebook bernama ‘Bakakuk’ membuat komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad.
“Suspek di reman hingga Khamis (7 Mac) ini dan polis menerima 15 laporan polis terhadap tindakannya itu,” katanya melalui kenyataan media,” hari ini.
Sementara itu, tangkapan kedua dilakukan terhadap Alister Anak Cogia, 22, yang menggunakan Facebook bernama Ayea Yea yang membuat komen serupa.
“10 laporan polis diterima berhubung kes ini setakat hari ini. Alister ditahan pada 4 Mac di Bau, Sarawak dan direman selama empat hari sehingga Khamis (7 Mac) ini, katanya.
Beliau berkata tangkapan ketiga pula dibuat terhadap pemilik akaun Facebook, Yazid Kong iaitu Mohd Yazid Kong Abdullah, 52, membuat komen jelik terhadap agama Islam.
“Suspek ditahan di Petaling Jaya semalam (4 Mac) dan permohonan remannya akan dibuat pada hari ini,” katanya.
Manakala seorang lagi suspek keempat yang menggunakan akaun Twitter @alvinchow333 atau Alvin Chow Mun Fai, 43 berhubung ciapan jelik terhadap Nabi Muhammad S.A.W.
“Suspek dipercayai berada di Kuala Lumpur dan usaha mengesannya sedang dibuat,” katanya.
Kesemua kes disiasat mengikut Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sehubungan itu, Mohamad Fuzi menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.
“Tindakan mencabar, menghina kepercayaan atau agama mana-mana kaum, boleh membangkitkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini dan perlu dihentikan serta-merta.
“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak mengendahkan perkara ini,” ujarnya.