KUALA LUMPUR 21 Dis – Insiden rusuhan di Pusat Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor pada tanggal 26 Mac 1998 kekal dalam catatan sejarah Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) dan diingati hingga kini.
Peristiwa berdarah tersebut walaupun meninggalkan kesan duka, namun mempamerkan semangat keperwiraan anggota PSP berdepan ancaman perusuh.
Rusuhan di Pusat Tahanan Imigresen Semenyih menyaksikan keberanian Koperal Mohd Nosruddin Che Yeop apabila membelakangkan keselamatan diri berdepan dengan para perusuh yang mana beliau akhirnya terkorban.
Allahyarham Mohd Nosruddin yang kemudian dinaikkan ke pangkat sarjan juga merupakan satu-satunya penerima anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa dalam sejarah PSP.
Imbas kembali, rusuhan berlaku ekoran keengganan pendatang-pendatang asing tanpa izin dari Acheh untuk dihantar pulang ke Indonesia.
Sebelum operasi penghantaran dimulakan, satu rusuhan telah berlaku apabila para perusuh bertindak ganas dan membaling batu ke arah pondok pengawal polis serta membakar blok banggunan kem tersebut.
Pasukan PSP dari Kuala Lumpur yang dihantar ke lokasi untuk mententeramkan perusuh bagaimana pun berdepan dengan tindakan agresif mereka yang bersenjata.
Allahyarham Mohd Nosruddin bersama rakan-rakannya dikepung perusuh yang bertindak gila menyebabkan mereka tidak dapat bertahan lama.
Keadaan luar kawalan ini kemudian memaksa pihak keselamatan mengerahkan
Skuadron B, Unit B Pasukan Gerak Khas (69 Komando) Ulu Kinta, Perak menyuraikan perusuh.
Mereka berjaya menyerbu dan menghentikan rusuhan serta membawa keluar perusuh yang telah menyerang anggota PSP.
Dalam operasi ini juga, seorang anggota 69 Komando mendapat kecederaan parah akibat diserang menggunakan senjata tajam oleh perusuh.
Atas tindakan beraninya, anggota tersebut, Lans Koperal Ada Kulim dikurniakan pingat keberanian Pahlawan Gagah Berani.
Peristiwa rusuhan dan keperwiraan anggota PSP ini telah dipersembahkan di hadapan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain semasa
merasmikan Markas Pangkalan PSP Cheras pada 7 Disember lalu.
Persembahan pantomin penuh menyayat hati oleh para pegawai dan anggota PSP mengenai insiden rusuhan tersebut menyaksikan ramai dalam kalangan hadirin yang mengalir air mata.
Ini termasuklah veteran-veteran PSP yang turut terlibat dalam insiden tersebut apabila mengenangkan kembali detik-detik getir berhadapan dengan perusuh yang menggila.
Turut dijemput khas ialah balu allahyarham iaitu Solha Mat Hassan serta keluarga.
Terdahulu, perasmian markas ini juga diadakan bersempena sambutan Ke-68 tahun penubuhan PSP dalam Polis Diraja Malaysia.
Markas PSP yang pada asalnya terletak di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, Jalan Semarak telah dipindahkan ke Cheras.
Ia menempatkan Unit 1, Unit 4, Unit Berkuda PSP dan Terup Wanita serta blok pentadbiran, pengangkutan, dewan dan blok perumahan buat warga PSP.
Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), Dato’ Sri Hazani Ghazali dan Komander PSP, SAC Mohd Said Ibrahim.
Sementara itu dalam ucapannya, Razarudin turut berkongsi kejayaan PSP sepanjang bagi menahan 163 individu dan rampasan berjumlah RM31.8 juta bagi 41 kes melibatkan kesalahan penyeludupan kontraban, imigran, ketum, mercun dan khazanah negara.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga PSP atas kejayaan yang cukup membanggakan ini. Besarlah harapan saya, agar momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” tambah beliau lagi.
Seusai ucapan, Ketua Polis Negara kemudiannya melakukan tembakan ke arah papan sasaran dan menandatangani plak sebagai tanda Markas Pangkalan PSP Cheras dan Pangkalan Unit Berkuda PSP Cheras sempurna dirasmikan.
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #PSP #FRU #PDRM