KUALA LUMPUR, 26 Okt – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak pernah menuduh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli Freemason.
Penafian tersebut dibuat Pejabat Presiden PAS dalam satu kenyataan hari ini.
“Merujuk kepada suatu laporan berita dan petikan video ucapan Presiden PKR yang mendakwa kononnya Presiden PAS mengatakan beliau adalah ahli Freemason sedunia,
“Pihak kami dengan ini terpanggil untuk menafikan dakwaan tersebut, malah untuk rekod Presiden PAS tidak pernah mengungkapkan tuduhan yang dikatakan itu,” katanya.
Pihak pejabat Abdul Hadi menegaskan, PAS menolak budaya politik fitnah.
“Adalah ditegaskan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, PAS tetap menolak budaya politik fitnah, janji kosong dan tuduhan palsu yang tidak berasas sama sekali,
“Benarlah pepatah Arab yang berbunyi, ‘Dia yang memukul saya, dia pula yang menangis. Dia yang menzalimi saya, dia pula yang mengadu dizalimi’,” ujarnya. – airtimes.my