GENTING GAZA – PALESTIN, 7 Ogos – Kapal misi flotilla untuk menyertai kempen antarabangsa dalam usaha memecahkan kepungan haram Israel telah meninggalkan Genting Gaza, akhir minggu lalu.
Freedom Ship 3 itu membawa pelajar Palestin dan beberapa pesakit yang memerlukan rawatan di luar wilayah tersebut yang kini berdepan kekurangan bekalan ubat-ubatan yang serius.
Misi itu diteruskan walaupun kira-kira 12 aktivis pro-Palestin yang menaiki kapal mengibarkan bendera Sweden masih ditahan pihak berkuasa Israel untuk disoal siasat pada Sabtu lalu.
Jurucakap Jawatankuasa Tertinggi Great March Return dan Pecahkan Kepungan Israel, Ramdan al-Haiek berkata, perjalanan dari Gaza itu adalah ‘satu mesej daripada penduduk Palestin’.
“Kami memerlukan hak asas yang disokong konvensyen antarabangsa dan masyarakat dunia. Kami terus hidup menderita akibat pendudukan Israel dan ‘aktiviti’ ini dilakukan secara aman,” jelasnya.
Difahamkan, salah seorang penumpang Freedom Ship 3 perlu menjalani pembedahan segera selepas dia dihalang beberapa kali daripada mendapatkan rawatan.
Ahad lalu, sebuah kapal membawa bendera Norway telah dipintas tentera laut Israel dan dibawa ke pelabuhan Ashdod.