KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong menggesa negara yang terlibat dalam dalam Sub-Committee On Undersea Feature Names (SCUFN) agar mempunyai matlamat yang sama dalam membuka lebih ruang untuk bekerjasama berbanding hanya memikirkan hak ekslusif dan kepentingan negara tertentu semata-mata.
“Kejayaan untuk setiap usaha atau inisiatif yang dilaksanakan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan dan komitmen daripada semua pihak yang terlibat, tegas Liew Chin Tong pada Majlis Pembukaan Mesyuarat SCUFN Ke-32 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), hari ini.
SCUFN merupakan jawatankuasa yang dibentuk di bawah Jawatankuasa Pemandu kepada Guiding Committee for General Bathymetric Chart of the Oceans (GEBCO).
Jawatankuasa ini dianggotai oleh pakar-pakar bidang hidrografi dan geologi marin daripada dua pertubuhan antarabangsa iaitu International Hydrographic Organisation (IHO) dan Intergovernmental Oceanographic Commission (IOC).
IHO merupakan pertubuhan yang menjurus kepada pengurusan pengukuran laut serta pencartaan bagi tujuan keselamatan pelayaran manakala IOC merupakan suruhanjaya yang menyelaraskan keperluan penyelidikan saintifik lautan dan pesisiran pantai di peringkat antarabangsa.
Kedua-dua pertubuhan ini berkait rapat dengan tadbir urus data-data fitur dasar laut (underwater features) dan penyeragaman nama geografi bagi fitur dasar laut tersebut yang dimajukan oleh negara berpantai.
Chin Tong turut menzahirkan penghargaan terhadap SCUFN di atas usaha yang dilaksanakan bagi menyeragamkan penamaan fitur dasar laut di seluruh dunia.
“Selain itu, saya turut merakamkan penghargaan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pusat Hidrografi Nasional (PHN) dan PETRONAS yang telah bekerjasama di dalam menjayakan penganjuran Mesyuarat SCUFN yang ke-32 ini,” tambah Chin Tong dalam satu kenyataannya.
Pada mesyuarat kali ini, seramai 35 perwakilan antarabangsa merangkumi Ahli Tetap Jawatankuasa dan pemerhati (observer) dari 12 negara iaitu Amerika Syarikat, Argentina, Brazil, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Palau, Republik Rakyat China, Republik Korea, Russia serta Vietnam bagi hadir untuk membincangkan permohonan fitur dasar laut.
“Penyertaan 35 delegasi antarabangsa merupakan penyertaan paling ramai dalam sejarah SCUFN setakat ini, tambah kenyataan itu.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya dan Ketua Pengarah Hidrografi, Laksamana Muda Hanafiah Hassan.