KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Sebanyak 8 lagi lokaliti di 2 negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok sehingga 1 September depan.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad berkata, PKPD tersebut melibatkan 6 lokaliti di Sabah dan 2 kawasan di Pahang.
Beliau berkata, PKPD di Sabah dikenakan di Kampung Kuala Abai dan Lampung Payas-payas di Kota Belud; Beverly Hills Fasa 3 dan Regency Park di Penampang; Kampung Iburu dan Kampung Meligan di Sipitan.
Turut dikenakan PKPD ialah Taman Ria Height, Tawau, Kompleks Baiduri Ayu, Felda Sahabat 9 di Lahad Datu dan Perumahan Pekerja Ladang Moynod 1 di Beluran.
“PKPD dilaksanakan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di lokaliti berkenaan,
“Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai mengenai PKPD, hari ini.
Rodzi berkata, PKPD turut dikenakan di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau, Termeloh dan Ladang Selbourne, Mukim Gua, Lipis di Pahang.
Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan PKPD di Felda Tersang 1, 2, dan 3 Mukim Batu Talam, Raub dilanjutkan bermula 19 sehingga 25 Ogos ini.
Selain itu, 9 lokaliti di Pahang, Terengganu, Sabah dan Kelantan turut ditamatkan pada 18 Ogos seperti yang dijadualkan.
“PKPD ditamatkan di Felda Krau 1, Mukim Gali, Raub di Pahang; Taman Rakyat Bestari Fasa 1 hingga 4 serta Rumah Awam Kos Rendah 1 dan 2 di Kemaman; Mukim Manir, Kuala Terengganu,
“Selain itu, PKPD di Kampung Banjar, Keningau; Kem 3 Sibulu, Tenom; Penampang Baru, Penampang dan Depot Tahanan Imigresen Tawau, Sabah dan Kampung Banggol Pak Esah, Mukim Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan turut ditamatkan,” tambahnya. -airtimes.my