Bera, 17 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Purun, Zulkifli Mohd Sharif menegaskan isu gangguan bekalan air di sekitar tanah rancangan Felda Purun dan Mayam yang tular di media sosial beberapa hari lalu sengaja di bangkitkan. Isu tersebut sengaja dibangkitkan pihak tertentu yang disifatkan sebagai taktik kotor politik menjelang PRU14 hingga menyebabkan kemarahan penduduk setempat.
Menurutnya, sehingga kini, penduduk jarang mengalami gangguan bekalan air kecuali jika ada kerja-kerja baik pulih paip pecah di kawasan terbabit.
“Itu cerita lama, tapi ada orang sengaja guna untuk viral (tular) semula isu ini. Kalau nak mandi, datanglah ke Purun, saya boleh sediakan air” . Beliau yang ditemui Sinar Harian menasihatkan individu tidak bertanggungjawab itu menghentikan cara politik kotor yang boleh menimbulkan kebencian rakyat.
Rakaman mengenai isu air yang disiarkan di televisyen tempatan sekitar tahun 2010 menjadi tural dan dikatakan sebagai modal untuk membandingkan isu gangguan bekalan air di negeri Selangor.
Akibat situasi itu, katanya ramai netizen di Facebook menyalahkan kerajaan yang gagal mengatasi masalah itu, sebagaimana yang berlaku di Selangor yang dipimpin parti pembangkang. Zulkifli berkata, bagi mengelak salah faham pelayar Facebook, dia mewakili JKKK turut menyiarkan rakaman bagi menerangkan situasi sebenar berkaitan isu tersebut.
“Tidak dinafikan, pada tahun itu (2010), kawasan ini selalu tiada air sebab paip kerap pecah kerana semua paip yang ada merupakan paip yang lama, yang dipasang sekitar tahun 1970-an.
“Jadi, ekoran itu, kerajaan telah memperuntukan lebih RM50juta untuk membaikpulih semua paip lama yang membabitkan lebih 10 tanah rancangan yang ada di sini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Mempaga, Azril Ramli memberitahu, tidak sepatutnya isu yang sudah selesai dibangkitkan semula kerana ini bukan sahaja akan menimbulkan kemarahan orang ramai, malah mengelirukan orang lain terutamanya mereka yang tidak menetap di kedua-dua tanah rancangan ini.
“Isu lapuk ni… sengaja dibangkitkan semula. Eloklah hentikan segala fitnah. Lepas projek baikpulih dan naiktaraf sistem paip, jarang-jarang berlaku gangguan air.
“Saya percaya, pada masa itu, semua terkesan dengan isu ini. Tapi, sekarang mereka sudah menikmati kemudahan ini sebagaimana di tempat lain. Saya harap, semua faham bahawa isu ini adalah isu lama, dan tidak wajar secara berterusan menyalahkan kerajaan,” katanya.