KUALA LUMPUR, 9 Jun – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikenakan di beberapa lokaliti di Sabah, Johor, Pahang, Sarawak dan Kelantan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah bersetuju melaksanakan PKPD di semua lokaliti dan perumahan tersebut berkuat kuasa pada 11 sehingga 24 Jun ini.
Di Sabah, ia membabitkan 2 lokaliti di Kudat iaitu Kampung Singgahmata, Pulau Banggi dan Kampung Sin San serta perumahan kilang, Ladang Ong Yah Ho di Kinabatangan yang telah merekodkan peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan 8 positif COVID-19 di Kampung Singgahmata, Pulau Banggi selepas 8 penduduk disaring manakala di Kampung Sin San, 22 ujian saringan dilakukan dan 9 dilaporkan positif,
“Di perumahan kilang, Ladang Ong Yah Ho pula, seramai 28 orang didapati positif COVID-19 hasil daripada 151 ujian saringan yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.
Seterusnya, PKPD Johor melibatkan Felda Inas, Kulai selepas KKM mengesan 43 kes positif hasil saringan 410 orang di kawasan tersebut.
Sementara itu, di Pahang pula ia melibatkan Felda Tembangau 1, Felda Tembangau 3 di Bera dan Felda Jengka 7 di Maran.
“KKM mendapati berlaku peningkatan mendadak apabila sebanyak 8 kes direkodkan di Felda Tembangau 1 hasil saringan ke atas 49 penduduk di lokaliti itu. Manakala di Felda Tembangau 3, seramai 121 individu disaring dan 28 daripadanya disahkan positif COVID-19,
“Manakala, seramai 18 kes positif dikesan di lokaliti Felda Jengka 7 dan KKM mengesahkan peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi,”jelasnya.
Selain itu, PKPD turut dikenakan di Kampung Sinar Budi Baru, Kuching, Sarawak ekoran peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
“Sebanyak 18 kes positif telah direkodkan hasil daripada 38 ujian saringan yang dilakukan,” ujarnya.
Ismail Sabri turut menjelaskan, PKPD dikenakan di Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil di Tumpat, Kelantan.
“KKM mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes di lokaliti ini apabila sebanyak 75 kes positif direkodkan hasil daripada 130 ujian saringan di Kampung Kutan Tengah dan 47 kes positif dari 171 ujian saringan di Kampung Ketil,” ujarnya.
Menurutnya, pelaksanaan PKPD ini akan dapat memudahkan tindakan kawalan COVID-19 dijalankan dengan cepat dan berkesan.
“Selain itu, pelaksanaan PKPD ini juga dapat menghalang penularan lanjut dalam kawasan terlibat dan juga penularan keluar dari kawasan tersebut,” katanya. -airtimes.my