KUALA LUMPUR, 16 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membuka sidang Parlimen pada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara sekitar September atau Oktober ini adalah tidak masuk akal.
Beliau berkata, lebih mengelirukan apabila dimaklumkan pada Fasa 3 semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali bagi aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif.
“Senarai negatif Fasa 3 yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi jangkitan COVID-19 termasuk pub, spa dan salon kecantikan,
“Adakah ini bermakna Parlimen yang merupakan lambang demokrasi negara diletakkan dalam senarai negatif yang sama seperti pub, spa dan salon kecantikan? soal Ahmad Zahid menerusi hantaran di media sosialnya, semalam.
Ahmad Zahid turut mempersoalkan apa kaitan 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua doa suntikan vaksin baru Parlimen akan dibenarkan bersidang semula.
“Sedangkan barisan ahli parlimen telah lama menerima suntikan vaksin COVID-19 yang bermakna sidang Parlimen sepatutnya adalah selamat untuk diadakan,
“Lagipun seperti banyak kali dipinta, sidang Parlimen masih boleh diadakan secara maya seperti yang dilakukan negara lain walaupun pintunya mahu terus ditutup,
“Justeru, pihak manakah yang sebenarnya sengaja cuba menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat berkenaan prinsip Demokrasi Berparlimen?” soalnya.
Sementara itu, beliau berkata akan terus menggesa supaya Parlimen kembali bersidang secepat mungkin sebagai tonggak demokrasi terpenting di Malaysia.
“Parlimen sebagai sebuah badan legislatif mewakili suara serta hak rakyat dan badan perundangan tertinggi di Malaysia,
“Parlimen sebagai proses semak dan imbang terhadap perbelanjaan serta pentadbiran negara supaya ianya telus dan jujur demi kepentingan rakyat,” ujarnya.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sidang parlimen boleh diadakan semasa Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara sekitar September atau Oktober ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. – airtimes.my