KOTA KINABALU, 9 Okt : Sepuluh anggota polis dan seorang pesara polis direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah disyaki berkaitan aktiviti dadah.
Perintah tahanan reman ke atas semua suspek berumur antara 26 hingga 55 tahun itu dikeluarkan Majistret Stephanie Sherron Abbie berikutan permohonan pegawai SPRM Faliq Basirudin.
Kesemua konstabel hingga Inspektor berkenaan pernah bertugas di Kota Belud sebelum ditahan SPRM di pelbagai lokasi semalam (8 Okt) antara jam 2 petang hingga jam 8 malam hasil aduan orang ramai.
Menurut Faliq, sembilan daripada suspek ditahan di daerah Kota Belud dan masing-masing seorang di Kepayan serta Kota Kinabalu.
Kesemua suspek dikatakan menerima bayaran secara harian, mingguan dan bulanan menerusi akaun bank masing-masing daripada pihak disyaki terlibat dengan aktiviti berkaitan dadah melibatkan nilai puluhan ribu ringgit sejak 2014 hingga Jun tahun ini.
“Kami tunggu pengesahan daripada pihak bank dan mendapatkan penyata-penyata bank bagi setiap suspek…selebihnya dalam siasatan dan sekiranya siasatan tidak dapat diselesaikan dalam masa tujuh hari yang diberikan, kita akan ajukan permohonan (reman) kedua pada Ahad ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Faliq pihaknya juga sedang mengesan semua saksi yang ada kaitan dengan kes itu, termasuk pihak yang pernah memberikan wang rasuah kepada anggota polis berkenaan.
Katanya kes siasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – BERNAMA