Baru-baru ini, tular di media sosial beberapa video dan gambar proses pemindahan MiG-29N yang sedang dijalankan di Kuantan.
Ini sekaligus menutup tirai nasib MiG-29N yang seringkali menjadi persoalan pemerhati pertahanan tempatan.
Pelbagai desas-desus timbul mengenai jet pejuang ini terutamanya di media sosial. Ada yang menyatakan ianya masih boleh lagi dioperasikan dan hanya di-mothballed. Malah, ada yang menyatakan ia akan dinaiktaraf dan lain-lain.
Sudah tentu, pemindahan MiG-29N sebagai monumen akan menutup pelbagai spekulasi alam maya berhubung masa depan pesawat tersebut.
Jet pejuang ini pernah menjadi kebanggaan negara khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam mempertahankan kedaulatan ruang angkasa negara. Ia telah dioperasikan oleh angkatan udara itu melalui No 17 Skuadron dan 19 Skn pada satu ketika dahulu.
Difahamkan, MiG-29N dipindahkan ke beberapa lokasi sebagai monumen dan operasi pemindahan dilakukan oleh syarikat logistik tempatan.
Antara lokasi yang akan menempatkan jet pejuang ini adalah Dataran Pahlawan Negara. Ini dengan melihat lawatan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Perbadanan Putrajaya (PPJ) pada 22 Ogos 2023.
Pemindahan MiG-29N dari Pangkalan Udara Kuantan hakikatnya adalah salah satu episod dalam sejarah perolehan pertahanan tanah air. Ini terutamanya ketika pesawat ini dihasratkan untuk tamat perkhidmatan dan juga mencari calon MRCA.
Mengenali MiG-29
Jet pejuang MiG-29 merupakan salah satu pesawat ikonik yang dihasilkan oleh Negara Kesatuan Soviet. Ia direka oleh Mikoyan sebagai jet pejuang penguasaan udara (air superiority fighter). Dalam bahasa mudah, pembangunan pesawat ini dikhususkan untuk tujuan pertempuran di udara.
Seperti platform Su-27, MiG-29 mempunyai pelbagai variannya yang tersendiri. Sebagai contoh, MiG-29K merupakan varian generasi kedua yang mempunyai kerangka pesawat yang diubahsuai bagi tujuan operasi di kapal induk.
MiG-29N yang diperolehi Malaysia dikatakan varian Product 9.12B. Ia merupakan varian asal yang dikeluarkan oleh Kesatuan Soviet tetapi khusus untuk eksport ke negara-negara bukan anggota Perikatan Warsaw (Warsaw Pact).
Antara negara yang menerima varian ini adalah India, Iraq, Myanmar dan Syria. Akan tetapi, melihat pangkalan data SIPRI, Malaysia menerima MiG-29S.
Namun begitu, varian bukanlah isu mustahak yang akan dibincangkan dalam artikel ini.
Selain itu, Rusia turut membekalkan misil R-73 (AA-11 Archer) kepada negara. Ia merupakan misil infra merah jarak dekat yang dihasilkan oleh Vympel.
Menariknya mengenai misil ini adalah kemampuannya untuk mengempur dan menjejak sasaran pada keduduk 40 darjah dari garis paksi tengah. Selain itu, ia mampu digandingkan dengan helmet-mounted sight (HMS).
Selain itu, MiG-29 turut dilengkapi dengan meriam automatik 30mm GSh-30-1.
Pesawat ini mampu untuk terbang pada kelajuan maksimu Mach 2.3+ dan ditujah oleh enjin berkembar Klimov RD-33.
Mengapa MiG-29N ditamatkan perkhidmatan?
TUDM mengoperasikan 18 buah jet MiG-29N/NUB dari Rusia semenjak tahun 1995 dan memainkan peranan sebagai pesawat pemintas. Seperti jet pejuang TUDM yang lain, jet pejuang ini telah terlibat dalam beberapa siri latihan udara dengan angkatan tentera asing.
Semasa Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009, Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan khidmat jet pejuang MiG-29N ditamatkan pada 31 Disember 2010.
Perkara tersebut sekali lagi disuarakan oleh beliau di Dewan Rakyat pada 28 Oktober 2009 yang menjelaskan sebab jet pejuang tersebut ditamatkan perkhidmatan.
“Pesawat MIG-29N akan tamat perkhidmatannya atas dasar penyelenggaraan sesetengah komponen dan sistem pesawat yang telah usang dan sukar untuk diselenggarakan,
“Proses selenggaraan pesawat juga akan melibatkan kos yang tinggi, sekali gus merugikan negara untuk jangka masa panjang,
“Di samping itu juga, persenjataan pesawat berkenaan telah sampai ke penghujung tempoh hayat di mana proses penyambungan hayat melibatkan kos yang tinggi dan tidak menguntungkan,
“Setelah perkhidmatan pesawat MIG-29N ini ditamatkan, peranannya akan disokong oleh pesawat SU-30MKM atau Sukhoi yang merupakan di antara pesawat tempur jarak jauh yang tercanggih buat ketika ini,” kata Zahid Hamidi berdasarkan Hansard Dewan Rakyat bertarikh 28 Oktober 2009.
Beliau menambah, penamatan khidmat jet pejuang ini akan menjimatkan kira-kira RM260 juta. Selain itu, kos penyelenggaraan dan rawatan enjin serta kerangka pesawat bagi memanjangkan hayat MiG-29N di Rusia adalah begitu tinggi.
Jelas Zahid pada ketika itu, TUDM telah pun merancang untuk memperolehi pesawat tempur pelbagai peranan atau Multi-Role Combat Aircraft (MRCA).
Sepanjang pengoperasiannya, 2 buah MiG-29N/NUB dilaporkan terhempas iaitu pada 1998 dan 2005.
Hayat MiG-29 disambung seketika
Hasrat penamatan MiG-29 sepenuhnya pada penghujung tahun 2010 kemudiannya ditangguhkan.
Ini melihat dengan rekod laporan media dan antarabangsa memetik kenyataan pihak kerajaan pada Februari 2010 yang menyatakan khidmat MiG-29N akan diteruskan selama 5 tahun dengan 10 buah pesawat.
MiG-29N kemudiannya hadir ke beberapa acara pameran pertahanan antarabangsa seperti Brunei Darussalam International Defense Exhibition (BRIDEX) 2011 dan juga SIngapore Air Show 2012.
Selain itu, pesawat ini juga hadir dalam Eks Cope Taufan 2014. Latihan ini mempunyai sejarahnya tersendiri kerana ia merupakan kali pertama jet pejuang F-22A hadir ke kawasan Asia Tenggara.
MRCA, tingkat upaya MiG-29NM, Arab Saudi, Kuwait dan aircraft carrier
Program MRCA sebelum ini mewarnai pertahanan tanah air sepanjang 2010 hingga 2018. Selain itu, ia turut menjadi salah satu bahan politik memandangkan situasi ekonomi negara pada ketika itu agak kurang memberangsangkan. Malah, isu perolehan MRCA dan kapal pengangkut pesawat (kapal induk) telah dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.
MRCA dilihat sebagai satu tarikan utama kepada pameran pertahanan tanah air di mana syarikat antarabangsa bersaing untuk menawarkan pakej-pakej tersendiri kepada negara dalam proses pencarian MRCA.
Malah ada yang menawarkan pakej sewa beli sementara menanti pesawat baharu dihasilkan.
Disebalik pencarian calon MRCA, syarikat pertahanan tempatan, ATSC pada LIMA 2015 pernah menawarkan tingkat upaya MiG-29N kepada MiG-29NM.
Versi yang ditawarkan, MiG-29NM pada ketika itu dikatakan setanding MiG-29UPG yang telah ditingkat upaya.
Dalam jawapan bertulis pada 31 Oktober 2011, Menteri Pertahanan menyatakan beberapa model jet pejuang sedang dikaji bagi menggantikan peranan MiG-29N.
Antaranya, Eurofighter Typhoon, Dassault Rafale, F/A-18E/F Super Hornet dan Saab JAS-39 Gripen.
Melihat kepada jawapan pada 11 November 2014 pula, pihak Kementerian Pertahanan telah menyatakan rancangan perolehan 18 MRCA telah didaftarkan dibawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) dengan 2 buah pesawat Airborne Warning and Control System (AWACS).
Namun begitu, melihat kepada perkembangan hari ini, perolehan kedua-dua pesawat tersebut tidak lagi direalisasikan.
Selain itu, desas-desus perolehan pesawat lebihan (excess) dari Arab Saudi dan juga Kuwait juga tidak menampakkan sebarang hasil. Berhubung dengan Arab Saudi, tiada sebarang perkembangan lanjut.
Mengenai Kuwait pula, sememangnya terdapat usaha perolehan F/A-18 Hornet secara terus dari negara Teluk itu.
Akan tetapi, Kuwait dilaporkan akan meneruskan pengoperasian F/A-18 Hornet bersama Super Hornet.
Antara perkara menarik adalah mengenai perolehan aircraft carrier yang didakwa oleh beberapa orang ahli politik pada ketika itu. Malah, persoalan perolehan kapal induk ini telah pun dibawa ke Dewan Rakyat.
Dalam jawapan bertarikh 2 Disember 2015, Kementerian Pertahanan menafikan sebarang perancangan berhubung perolehan kapal tersebut.
Hakikatnya, isu perolehan kapal induk timbul apabila media antarabangsa yang menyatakan kerajaan Perancis pada ketika itu berhasrat untuk mengadakan perbincangan dengan Malaysia berhubung penjualan Mistral.
Hakikatnya, Mistral merupakan kapal serang amfibi yang mengangkut helikopter. Isu ini timbul apabila Perancis enggan menyerahkan kedua-dua buah kapal kelas tersebut kepada Rusia. Ini berikutan isu pengilhakan (annexation) Crimea oleh Moskow.
Pintu Hornet Kuwait dan Super Hornet tutup?
Super Hornet merupakan antara calon utama yang mendapat tempat dalam program perolehan MRCA pada sekitar 2010-2018. Ini memandangkan TUDM mengoperasikan 8 buah F/A-18D Hornet semenjak 1997, 2 tahun selepas memperolehi MiG-29N.
Walaupun dilihat sebagai calon yang sesuai, pihak Boeing dilaporkan akan menamatkan pengeluaran F/A-18 Super Hornet dalam masa terdekat. Dalam pengumuman yang dibuat pada 23 Februari 2023, Boeing menyatakan pengeluaran akan berakhir pada tahun 2025 selepas perolehan untuk Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) selesai.
Akan tetapi, isu berkaitan perolehan F-35 mungkin memberikan sedikit nafas kepada Boeing sekurang-kurang sehingga 2027. Ini dengan melihat beberapa siri kontrak yang dianugerahkan oleh Pentagon kepada syarikat pengeluar itu bagi menghasilkan alat ganti dan juga memanjangkan jangka hayat Hornet serta Super Hornet dalam perkhidmatan US Navy.
Kor Marin Amerika Syarikat (USMC) pula sebelum menyatakan hasrat untuk mengekalkan khidmat F/A-18 sehingga 2030. Jet pejuang ini dilihat amat diperlukan dalam operasi di rantau Indo-Pasifik.
Perolehan F/A-18 Hornet dari Kuwait pula dilihat sebagai salah satu langkah interim bagi memenuhi keperluan keupayaan tempur TUDM. Selain itu, difahamkan perolehan pesawat ini dari Kuwait dirancang untuk membentuk satu skuadron Hornet dalam negara.
Malah, isu perolehan Hornet dari negara Teluk itu telah dibangkitkan di Dewan Rakyat, sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Pun begitu, hasrat Kuwait untuk meneruskan pengoperasian F/A-18 Hornet mereka sekaligus memadamkan harapan Malaysia untuk memperolehi pesawat berkenaan.
CAP55 dan taring TUDM
Umum mengetahui TUDM telah menggariskan rancangan strategiknya tersendiri dalam perolehan aset mereka. Ini termasuklah perolehan jet-jet pejuang.
Perkara ini digariskan dalam rancangan strategik Capability 2055 atau CAP55. Di bawah rancangan ini, TUDM merancang untuk mendapatkan 2 jenis pesawat tempur iaitu MRCA dan Light Combat Aircraft/Fighter Lead-In Trainer (LCA/FLIT).
Melihat pada postur pada ketika ini, TUDM mengoperasikan Su-30MKM, F/A-18D, BAE Hawk 108/208 dan MB339CM.
Di bawah CAP55 pula, TUDM berhasrat untuk mempunyai 3 skuadron LCA/FLIT dan 2 skuadron MRCA.
Pelaksanaan rancangan strategik ini bermula dengan Fasa Pertama CAP55 pada 2021. Fasa ini menggariskan perolehan 36 buah LCA/FLIT secara berperingkat.
Sementara menanti pelaksanaan LCA/FLIT dipenuhi, Su-30MKM dan F/A-18D Hornet menjalani beberapa siri program bagi memastikan khidmat kedua-dua pesawat tersebut diteruskan untuk satu tempoh yang lebih lama.
Khidmat Su-30MKM akan diteruskan sehingga 2035 di mana program senggaraan jet pejuang tersebut dilaksanakan di bawah RMKe-12 (2021-2025) dan RMKe-13(2026-2030). Ia merangkumi Service Life Extension Programme (SLEP) dan Mid Life Upgrade Programme (MLU).
F/A-18D Hornet pula menjalani program Local Planned Maintenance 12 years (LPM12Y). Program ini dilaksanakan di dalam negara dengan melibatkan kerjasama syarikat industri pertahanan tempatan, G7 Global Aerospace.
KAI FA-50: Pesawat Korea Selatan pengganti MiG-29
Teka-teki LCA/FLIT tamat dengan perolehan 18 buah jet pejuang ringan dari Korea Selatan, FA-50 keluaran Korea Aerospace Industries (KAI) pada Februari tahun lalu.
Perolehan ini merupakan antara perkara yang terkandung dalam Fasa Pertama CAP55. Perolehan ini dilihat akan menggantikan peranan BAE Hawk 108/208 dan MB339CM yang dioperasikan TUDM pada ketika ini. Selain itu, perolehan LCA/FLIT merupakan sebagai langkah untuk menggantikan peranan MiG-29N.
Khidmat Hawk dijangka akan tamat secara berperingkat mulai 2027 dan peranannya akan digantikan oleh FA-50.
Fasa pertama CAP55 perolehan 18 buah LCA/FLIT pada RMKe-12 dan 18 buah lagi semasa RMKe-13.
Perolehan FA-50 memberikan kesannya tersendiri kepada industri pertahanan tempatan. Menteri Pertahanan sebelum ini, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan Malaysia perlu merebut peluang untuk menjadi hub MRO (pemeliharaan, penyelenggaraan, dan pembaikan) untuk pesawat tempur keluaran Korea Selatan.
FA-50 merupakan derivatif tempur untuk pesawat latihan T-50 Golden Eagle. Kedua-dua pesawat ini telah digunakan secara meluas di rantau Asia Tenggara termasuk di Indonesia, Filipina dan Thailand.
Sehingga kini, masih belum ada pusat MRO serantau di Asia Tenggara.
Ia satu perjalanan yang jauh
Perolehan FA-50 mungkin dilihat sebagai satu kelegaan pada ketika ini. Namun begitu, usaha untuk memantapkan keupayaan pertahanan negara masih lagi perlu diteruskan. Melihat kepada proses dari bermulanya MiG-29N diputuskan untuk ditamatkan perkhidmatan sehinggalah perolehan FA-50, ianya satu perjalanan yang begitu jauh.
Melihat kepada perkembangan dunia semasa, perlu diakui bahawa keperluan pertahanan negara perlu disiapsiagakan sebaik-baiknya oleh pihak berwajib. Adalah penting untuk diketahui bahawa kemajuan ekonomi dan keupayaan pertahanan negara adalah 2 perkara yang sentiasa berkait rapat.
Walaupun ada masih mendambakan kehadiran MiG-29 di ruang angkasa negara, mungkin sudah tiba masanya untuk kita akur bahawa Smokey Bandits yang disayangi tidak lagi beraksi.
Pun begitu, ini tidak bermakna kita akan melupakan jasa dan khidmat yang pernah dicurahkan oleh MiG-29N/UB kepada negara.
Patah tumbuh, hilang berganti. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #TUDM #MIG29