JAKARTA, 25 SEPT – Latihan bersama Elang AUSINDON 2023 (Latma Elang AUSINDO 23) di antara Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU) dan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) menyaksikan latihan tempur pertama antara jet pejuang F-16 dengan F-35.
Latma Elang AUSINDO 23 dilaksanakan semenjak 18 September lalu di Manado, Sulawesi Utara.
Latihan ini juga menyaksikan kehadiran ulung jet pejuang generasi ke-5, F-35A yang dioperasikan RAAF di negara kepulauan terbesar rantau ASEAN.
RAAF dalam satu kenyataan berkata, latihan ini merupakan eksesais dwi tahunan di antara kedua-dua negara berjiran.
“Eksesais pada kali ini menlibatkan 6 buah F-35A Lightning II dari RAAF dan 6 F-16 TNI-AU,
“Latihan sebegini sekaligus menghasilkan taktik dan teknik operasi udara di antara kedua-dua pihak,” kata kenyataan itu.
Pihak Kedutaan Australia ke Indonesia dalam satu kenyataan berkata, Latma Elang AUSINDO 23 merupakan antara platform kedua-dua negara untuk meningkatkan keupayaan dalam melaksanakan operasi bersama.
“Melalui latihan ini, kita dapat membangun kerjasama, kepercayaan, dan pemahaman yang memberikan faedah kepada kedua-dua angkatan udara,
“Kami berkomitmen penuh terhadap perkongsian bilateral yang kuat dengan Indonesia,
“Latihan bersama ini penting untuk meningkatkan hubungan erat dan kerjasama di antara TNI-AU dan RAAF,” kata Air Vice-Marshal Glen Braz, Air Commander Australia dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kedutaan.
Selain F-16 dan F-35A, latihan bersama Elang AUSINDO 2023 turut melibatkan pesawat pengisian minyak di udara, RAAF KC-30A MRTT.
Menurut pihak Kedutaan Australia ke Indonesia, latihan bersama ini menekankan aspek latihan tempur udara termasuk operasi ofensif dan defensif.
Latihan dwi tahunan ini kali pertama diadakan pada tahun 1993 dan menjadi salah satu rangkaian latihan bersama antara Jakarta-Canberra. – airtimes.my