ATHENS, 28 JAN – Amerika Syarikat telah menawarkan penjualan 40 buah pesawat generasi ke-5, F-35A kepada Greece.
Perkara tersebut telah dinyatakan oleh pihak Defense Security Cooperation Agency dalam satu notis.
“Jabatan Negara telah memutuskan untuk meluluskan kemungkinan penjualan F-35 Conventional Take Off and Landing (CTOL) dan peralatan berkaitan kepada Greece,” katanya dalam satu notis dikeluarkan pada Jumaat.
Pengumuman penjualan F-35A kepada Greece dilakukan pada hari yang sama penjualan F-16 kepada Turkiye.
Menurut notis itu, Athens telah menyuarakan hasrat untuk membeli F-35A dari Washington.
Kelulusan kepada Greece secara tidak langsung memberikan sedikit situasi yang agak berlainan kepada negara jirannya, Turkiye.
Turkiye sebelum ini merupakan salah sebuah negara yang terlibat dalam program F-35. Namun begitu, penglibatan Ankara dalam program tersebut dibatalkan berikutan pembelian misil pertahanan udara S-400 dari Rusia.
Perolehan oleh Turkiye dari Moskow pada tahun 2017 itu telah menyebabkan Washington mengenakan CAATSA.
CAATSA atau Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act merupakan undang-undang yang digubal pada tahun 2017 oleh Washington semasa era pemerintahan Trump.
Undang-undang ini ini adalah bagi mengenakan sekatan kepada Iran, Korea Utara dan Rusia.
Selain itu, ia memberikan kesan kepada mana-mana pihak yang melakukan perolehan persenjataan dari ketiga-tiga negara ini.
Turkiye merupakan negara kedua dikenakan sekatan ini selepas China.
CAATSA juga dilaporkan menjadi pendorong kepada pembatalan pembelian jet pejuang Sukhoi Su-35 Indonesia dari Rusia. Pembatalan ini juga membawa kepada perolehan jet pejuang Rafale dan F-15EX oleh Jakarta. – airtimes.my