NEW YORK, 22 SEPT – Presiden Türkiye menegaskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN Security Council, UNSC) tidak lagi memainkan peranannya dalam menjamin keamanan antarabangsa.
Menurut beliau, UNSC sebaliknya telah menjadi medan percaturan politik antara 5 Ahli Tetap.
Majlis Keselamatan PBB mempunyai 5 ahli tetap iaitu Amerika Syarikat, China, Perancis, Rusia dan United Kingdom.
Kelima-lima negara ini mempunyai kuasa veto untuk menghalang sebarang resolusi daripada diluluskan.
“Dunia adalah lebih besar daripada 5,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-78.
Beliau menegaskan, UNSC perlu mengalami perubahan bagi mengembalikan matlamat asalnya.
“Kita perlu menstrukturkan semula institusi di bawah bumbung PBB yang bertanggungjawab untuk menjamin keamanan, keselamatan dan kebajikan global,
“Kita perlu membina reka bentuk tadbir urus global yang baik, mewakili semua agama, budaya dan latar belakang di dunia,” katanya.
Peranan UNSC menjadi seringkali menjadi persoalan terutamanya ketika Perang Ukraine-Rusia tercetus hampir 19 bulan lalu.
Rusia yang merupakan salah satu Ahli Tetap UNSC telah didakwa menggunakan kuasa veto untuk menghalang sebarang resolusi berkaitan Ukraine. – airtimes.my