KOTA KINABALU, 9 Okt – Sebanyak 23 buah kapal permukaan dari Armada Barat dan Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta 2,073 anggota terlibat dalam Eksesais KERISMAS 27/22 yang merupkan latihan intra-TLDM terbesar pada tahun ini.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Timur dalam kenyataan berkata, latihan yang bermula pada 3 sehingga 23 Oktober ini turut melibatkan sebuah kapal selam, sebuah Diving Tender, 4 buah helikopter, 2 buah pesawat Unmanned Aircraft System dan elemen Pasukan Khas Laut (PASKAL).
Selain itu, sebanyak 7 buah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut terlibat sebagai elemen sokongan dalam eksesais kali ini.
Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob pada Sabtu.
Abdul Rahman menjelaskan, sebanyak 63 peratus daripada keseluruhan Armada TLDM terlibat secara langsung dalam eksesais ini.
Jelasnya, penglibatan aset-aset TLDM daripada pelbagai skuadron pada eksesais kali ini menzahirkan komitmen TLDM di dalam memastikan kesiagaan TLDM ditingkatkan sebilang masa.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengakui kekurangan aset-aset tempur telah menjejaskan keupayaan TLDM menggalas tanggungjawab mempertahankan kedaulatan maritim negara.
“Malah kompetensi warga kapal turut terjejas rentetan isu keusangan terutamanya di dalam keupayaan tempur,
“Ini kerana warga armada yang telah pun dibekalkan dan dilatih dalam ilmu peperangan maritim tidak dapat mempraktikkannya di dalam eksesais seperti ini disebabkan kekurangan platform yang berkeupayaan tempur,” ujarnya.
Namun beliau berkata, TLDM tetap komited dalam memenuhi setiap keperluan operasi yang dipertanggungjawabkan walaupun berdepan cabaran kekangan keupayaan tempur.
Eksesais KERISMAS 27/22 kali ini terbahagi kepada 2 fasa latihan iaitu fasa pelabuhan dan fasa laut.
Jelas TLDM, siri latihan di pelabuhan telah bermula sejak 3 Oktober 2022 lalu dengan tujuan bagi meningkatkan kompetensi The Navy People melalui pelbagai latihan teori dan praktikal.
“Ia turut memberi ruang kepada aset-aset Armada TLDM untuk membuat persediaan bagi menghadapi fasa berikutnya di laut,
“Selain itu, latihan Pertahanan Pangkalan telah dilaksanakan bagi menguji aspek kesediaan warga dalam mempertahankan pangkalan dari serangan luar. Fasa pelabuhan juga merangkumi pelbagai taklimat eksesais melibatkan pelbagai dimensi operasi maritim,” ujar TLDM.
Tambah TLDM, eksesais yang berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) ini memfokuskan kepada penilaian keupayaan terkini elemen 3P (People, Platform dan Process) dalam melaksanakan operasi maritim meliputi aspek peperangan asimetrik dan konvensional walaupun dilanda pelbagai cabaran dalam mengoperasikan Armada yang semakin usang.
Selain itu, aspek keupayaan sustainability gabungan aset TLDM sebagai satu pasukan besar (Gugus Tugas) akan turut diuji apabila perlu beroperasi dalam satu tempoh yang panjang semasa fasa laut.
Semasa eksesais berlangsung juga, Panglima Tentera Laut akan melaksanakan penilaian terhadap keupayaan Armada TLDM melalui Chief of Navy Inspection (CINSPEC) bagi mengenalpasti tahap kesiagaan dan kebolehoperasian aset-aset TLDM. -airtimes.m