ROMPIN, 30 Nov – Presiden PAS, Tan Seri Abdul Hadi Awang sedia disiasat dan memberikan kerjasama kepada pihak polis atas dakwaan mengaitkan tuduhan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.
Jelasnya, beliau secara terbuka sedia untuk disiasat oleh pihak polis, jika benar ada membuat dakwaan sedemikian.
Bagaimanapun beliau berkata, dalam isu tuduhan Anwar sebagai ejen Israel beliau tidak pernah membuat kenyataan atau pun tuduhan sedemikian.
“Siapa kata? Saya tak kata dia yang kata, serah dia lah,
“Bukit Aman tahu saya kata tak kata, saya ceramah pun dia rakam, kenyataan media saya pun diorang baca, saya kata tak kata terpulang,
“Saya bukan baru sekali dua kena panggil Bukit Aman. Saya boleh pergi, tak jadi masalah,” katanya selepas ceramah Perikatan Nasional (PN) di Bandar Baru Rompin malam tadi.
Semalam media melaporkan, pihak polis telah mengesahkan akan menjalankan siasatan terhadap Abdul Hadi yang didakwa menuduh Perdana Menteri sebagai ejen Israel.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin dilaporkan berkata, siasatan dilakukan selepas menerima laporan polis berkenaan tuduhan itu.
Beliau berkata, siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/ Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.-airtimes.my