TOKYO, 19 Sept – Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong kini dalam rangka lawatan kerja rasmi di Tokyo, Jepun selama empat hari bermula 18 hingga 21 September 2019.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya berkata, Liew telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya yang baharu, Taro Kono pada Rabu bagi membincangkan beberapa isu bersama, serta mengeratkan hubungan diplomasi pertahanan Malaysia dan Jepun.
Beliau merupakan salah seorang tetamu terawal dari luar negera yang mengunjungi Taro Kano selepas beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan Jepun pada 11 September yang lalu.
“Liew dan Taro Kano yang telah melawat Kem Pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar, Bangladesh pada Mei dan Julai lalu turut berkongsi kebimbangan terhadap isu tersebut serta berharap dapat menjalinkan kerjasama bagi memperbaiki keadaaan di sana,
“Pada pertemuan itu, Timbalan Menteri Pertahanan turut menekankan bahawa hubungan pertahanan Malaysia-Jepun sewajarnya tidak terhad kepada jual beli peralatan pertahanan sahaja, malah perlu melibatkan kerjasama industri pertahanan yang lebih mendalam dan dalam jangka masa panjang, ‘ jelas kenyataan itu.
Kerjasama ini seharusnya berfokus kepada pembuatan bersifat dwikegunaan (awam dan tentera), dan akan membantu mencipta peluang-peluang pekerjaan berkemahiran sederhana dan tinggi di Malaysia.
Deligasi Malaysia turut diiringi Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan dan Atase Pertahanan Malaysia ke Tokyo, Kepten Mohd Izzudin Ahmad TLDM.