PADANG TERAP, 13 Mei – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah memberkas 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand dan Myanmar yang cuba memasuki negara melalui sempadan negara di sekitar Durian Burung, malam tadi.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) berkata, anggota pasukan yang sedang melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) telah menerima maklumat perisikan mengenai pergerakan masuk PATI melalui laluan yang tidak sah di sempadan negara pada jam 11.30 malam.
“Anggota operasi telah mengaturgerakkan kumpulan Serang dan Tangkap (SERKAP) di lokasi yang dikenalpasti,
“Pada jam 5.20 pagi, anggota telah menahan 2 buah motosikal yang dinaiki oleh 4 orang lelaki disusuli 6 buah motosikal yang dinaiki oleh 6 orang lelaki 10 minit kemudian,” jelas 2 Div dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut 2 Div, hasil pemeriksaan mendapati 8 orang lelaki adalah warganegara Thailand dan 2 orang adalah warganegara Myanmar.
“Kesemua yang ditangkap adalah berumur di antara 28 hingga 50 tahun dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” tambahnya.
Jelas kenyataan itu lagi, anggota pasukan turut merampas 8 buah motosikal Honda Wave (no pendaftaran Thailand), 8 buah telefon bimbit dan 2 buah beg galas dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM44,000.00.
Manakala, kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.
Dalam masa yang sama, 2 Div menjelaskan, pihaknya akan sentiasa mengawal sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan. -airtimes.my