KUALA LUMPUR, 14 Okt – Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-14 berkuat kuasa hari ini.
Pembubaran itu selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail untuk memberi laluan agar Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pejabat Menteri Besar Perlis dalam kenyataan berkata, beliau dan Speaker DUN Perlis Datuk Hamdan Bahari telah menghadap Raja Perlis di Galeri Diraja Arau pada pukul 3 petang semalam serta menyembah maklum memohon pembubaran DUN Perlis.
“Tuanku Raja Perlis juga telah berkenan dengan cadangan untuk membubarkan DUN Perlis yang Keempat Belas berkuatkuasa pada 14 Oktober 2022 bersamaan 18 Rabiul Awal 1444 Hijrah,
“Pembubaran ini akan membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan untuk memilih 15 Ahli DUN Perlis serentak dengan PRU-15 ekoran dari pengumuman pembubaran Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri Perlis menyerahkan segala urusan PRN selanjutnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Perlis mempunyai 15 kerusi DUN sebelum pembubaran DUN penggal ke-14. Sebanyak 10 kerusi diwakili Barisan Nasional (BN), 3 oleh PKR dan 2 bagi PAS.
Perlis mempunyai 3 kerusi Parlimen. Penyandang kerusi Arau dan Padang Besar adalah Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin masing-masing dari BN, manakala kerusi Parlimen Kangar disandang Noor Amin Ahmad (PKR).-airtimes.my