BATU PAHAT, 15 Feb – Bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik diumumkan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Nama beliau diumumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pengumuman Calon PKR PRN Johor Zon Tengah di Rengit pada Ahad.
Anwar dalam ucapannya berkata, meskipun PKR tidak menggalakkan Ahli Parlimen mereka bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), namun pengecualian itu diberikan kepada Maszlee kali ini.
“Ahli Parlimen kita (PKR), kita tak cadang untuk bertanding (DUN), tapi satu sahaja kita beri pengecualian di Johor iaitu Dr. Maszlee Malik di Layang-Layang. Ini kerana kita nak tonjolkan beliau sebagai tokoh kita di negeri ini yang boleh membantu dengan pengalamannya,
“Tetapi untuk nama-nama lain di zon tengah yang sepatutnya diumumkan hari ini, saya tangguh dahulu sekejap, biar ‘suspen’ sedikit,” katanya ketika berucap semalam.
Sementara itu, Dr Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, dia terharu dengan kepercayaan yang diberikan oleh parti kerana mengikut peraturan tidak bertulis parti ialah Ahli Parlimen tidak akan bertanding di peringkat DUN.
“Namun saya dapati pihak parti memutuskan untuk saya turun bertanding untuk menawan DUN Layang-Layang yang kita kalah dan juga untuk memastikan DUN lain juga kita dapat bantu,
“Apa sahaja tanggungjawab atau kepercayaan diberikan itu, saya akan cuba laksanakan sebaik mungkin dengan jentera dan penyokong yang kita ada di Parlimen Simpang Renggam,
“Lagi pula, DUN Layang-Layang di dalam parlimen Simpang Renggam,” tambahnya.
Sebelum itu, Anwar mengumumkan 5 calon PKR iaitu Fakharuddin Moslim bagi kerusi Pasir Raja; S. Gopalakrishnan (Tiram); Napsiah Khamis Maharan (Kempas) dan Chiong Sen Sern (Bukit Batu).-airtimes.my