JOHOR BAHRU, 11 Apr – Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Liew Chin Tong sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang baharu.
PH Johor dalam satu kenyataan menjelaskan, surat pemakluman berhubung perkara itu dihantar ke Pejabat Jurutulis Negeri pada Ahad.
“Menerusi mesyuarat ini, Pimpinan PH Johor telah bersetuju melantik Liew Chin Tong sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor yang baru,
“Beliau akan menggembleng komitmen wakil rakyat blok pembangkang untuk memainkan peranan secara konstruktif dalam dewan demi kebaikan negeri Johor,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengerusi Parti Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.
Dalam pada itu, PH Johor berharap reformasi DUN Johor sepertimana yang telah dirintis oleh kerajaan PH dapat diteruskan.
“Antaranya mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang dan mewujudkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan,
“Selain itu, melantik wakil rakyat pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negeri serta pemberian peruntukan sama rata kepada semua ADUN termasuk pembangkang,” tambah kenyataan itu.
Sementara itu, Liew yang juga Pengerusi DAP negeri Johor itu turut meluahkan rasa bersyukur dan menerima keputusan itu dan berikrar untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada warga Johor.
Beliau menjelaskan, peranan konstruktif pembangkang amat penting untuk memastikan Kerajaan Negeri mentadbir sebaik mungkin dengan penuh kewibawaan bagi memastikan kesejahteraan setiap warga Bangsa Johor.
“Dengan rendah hati dan rasa syukur, saya menerima keputusan ini yang dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Johor di Muar pada 8 April 2022,
“Bersama dengan semua pemegang taruh termasuk Kerajaan Negeri, Perkhidmatan Awam Johor (JCS), Yang Dipertua Dewan Negeri Johor, Jurutulis Dewan Negeri Johor dan masyarakat umum negeri Johor, saya akan melakukan yang terbaik untuk mengukuhkan proses perundangan dan demokrasi Dewan Negeri Johor,” jelasnya dalam hantaran di media sosialnya malam tadi. -airtimes.my