DSA 2018 auranya masih kuat, tarikan sehingga ada masyarakat awam yang berminat hendak masuk, walaupun mereka bukan terlibat secara langsung dalam keselamatan dan pertahanan – Encik Hilmi bin Ismail
DSA 2018
Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2018 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 16 hingga 19 Apr 2018 menjadi pameran terbaik sepanjang penganjurannya sejak 1988.
Penganjuran di lokasi baharu ini dilihat telah mengatasi beberapa kelemahan yang wujud sebelum ini termasuk peningkatan aspek keselamatan.
Manakala Pempamer DSA dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2018 amat berpuas hati dengan ruang yang lebih luas dan selesa di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
KUALA LUMPUR, 18 Apr – Satu majlis menandatangani kontrak, MoU (Memorandum Persefahaman), LoA (Surat Setuju Terima) dan Surat Niat (LoI) diadakan di Dewan Myspace 2, MITEC.
Majlis ini diadakan bersempena pameran DSA dan NATSEC Asia 2018 yang diadakan semenjak 19 April lalu.
Sebanyak 8 dokumen kontrak, 3 MoU, 6 Offset, 10 LoA dan 3 LoI berjumlah sebanyak RM 18.4 bilion telah ditandatangani oleh kerajaan Malaysia pada hari ke-3 pameran itu. Peruntukan yang besar yang disediakan oleh kerajaan Malaysia adalah isyarat bahawa kerajaan Malaysia komited dalam memastikan keselamatan dan kesiagaan pasukan keselamatan negara.
Selain daripada itu, ia turut melambangkan komitmen kerajaan Malaysia yang tidak akan berkompromi dalam isu menyentuh hal keselamatan dan kedaulatan negara.
Sebahagian besar nilai kontrak disumbangkan oleh 6 program secara offset dengan nilai sebanyak RM 14.4 bilion. Program offset merupakan pendekatan alternatif terbaik bagi membina kapasiti pertahanan negara. Melalui kaedah ini, Kementerian Pertahanan mampu untuk mendapatkan teknologi terkini dari beberapa buah negara ekonomi pertahanan terkemuka.
Disamping itu, pemindahan pengetahuan dan teknologi kepada industri tempatan dapat dilakukan dan ini sekaligus mengurangkan kebergantungan negara ini kepada negera pengeluar asal (Original Equipment Manufacturer – OEM).
Dua MoU dimeterai antara kerajaan Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) adalah bertujuan untuk melahirkan pegawai tentera yang kompeten dan membuka peluang kepada peningkatan kerjaya. MoU ini akan memberikan faedah kepada 165 pegawai di UPNM dan seramai 45 pegawai kanan di Univesiti Kebangsaan Malaysia.
Majlis bersama bagi menandatangani Kontrak/MoU hari ini adalah kesinambungan muafakat yang sekian lama terjalin di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri, selari dengan kejayaan perlaksanaan Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS).
KUALA LUMPUR, April 17 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini hadir untuk merasmikan penutupan Forum Putrajaya 2018.
“Teknologi komunikasi maklumat yang semakin pesat bukan sahaja memudahkan perkongsian maklumat tetapi turut menyebarkan berita tidak benar dalam dimensi siber hingga boleh membawa ancaman dan bahaya besar kepada negara,” kata Zahid Hamidi.
Dalam ucapan merasmikan penutupan Forum Putrajaya 2018 hari ini, beliau berkata langkah-langkah yang dilaksanakan kerajaan dalam mengekang ancaman itu tidak sepatutnya dilihat sebagai menafikan kebebasan untuk menggunakan internet dan platform media sosial.
“Malaysia melihat terlalu banyak berita tidak benar disebarkan dari depan ke belakang, dari selatan ke utara, timur ke barat, dan sudah semestinya ini bukan cara terbaik untuk maju.”
“Berita tidak benar membahayakan negara dan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meneutralkan bahaya yang ditimbulkan olehnya. Haruslah ingat bahawa langkah ini bukanlah alat untuk menutup mulut pengkritik kerajaan atau menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar,” katanya.
Forum ‘Menentu Ukur Semula Kerangka Keselamatan Serantau’ dianjurkan sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2018 (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2018.
KUALA LUMPUR, 15 Apr – Pameran DSA 2018 telah mencatat rekod penyertaan oleh syarikat pempamer dari 60 buah negara.
Perkara tersebut disampaikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ucapannya bersempena dengan Majlis Pelancaran Pameran Defence Service Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.
“Pameran tahun ini lebih besar berbanding sebelumnya, dengan mempunyai keluasan sebanyak 43 ribu meter persegi”,kata beliau.
Sebagai salah satu daripada lima pameran termuka pada peringkat global, DSA tetap memainkan peranan sebagai platform untuk memupuk dan membentuk kerjasama antara pihak; bukan pada peringkat perniagaan sahaja tetapi turut melibatkan antara negara.
Bukan sekadar pameran, DSA turut membuka peluang untuk para industri, wakil kerajaan dan ketua serta wakil pasukan keselamatan untuk bertukar-tukar pendapat dan pengetahuan.
“DSA 2018 akan meneruskan tradisi untuk memberi kesedaran kepada semua pihak akan ancaman terkini semasa. Ini termasuklah ancaman pengganas dan keselamatan siber,” kata Hishammuddin.
Tambah beliau, perkembangan semasa semenjak awal abad ke-21 cukup memberikan pengajaran bahawa ancaman hadir dalam pelbagai bentuk.
Beliau turut menyatakan, pengenalan pameran NATSEC Asia dalam DSA adalah simbolik kerjasama antara pasukan pertahanan dan pasukan polis serta agensi berkaitan untuk mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Kombinasi NATSEC Asia 2018 dan DSA 2018 telah menjadikan DSA sebagai satu pameran yang unik dan satu-satunya pameran pertahanan yang digabungkan dengan pameran keselamatan di rantau ini,” ujarnya lagi.
Pameran DSA 2018 dan NATSEC Asia 2018 berlangsung pada 16 sehingga 19 April 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur.
DSA 2018: Penyertaan syarikat pertahanan tempatan bertambah berbanding DSA 2016
KUALA LUMPUR, 15 Apr – Pameran pertahanan Defence Services Asia (DSA) akan berlangsung selama 4 hari mulai esok.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor berkata, pameran tahun ini menyaksikan peningkatan penyertaan syarikat pempamer iaitu sebanyak 1,500 penyertaan.
“Para pempamer turut berpuas hati dengan lokasi pameran” kata Panglima Angkatan Tentera dalam sidang media selepas meninjau kawasan pameran.
Pada masa yang sama, Tan Sri Raja Mohamed Affandi berpuas hati dengan peningkatan bilangan penyertaan syarikat pertahanan tempatan.
“Ini memenuhi matlamat DSA untuk memacu pencapaian syarikat pertahanan tempatan,” ujar beliau.
Pameran NATSEC Asia 2018 yang dianjurkan secara serentak dengan DSA 2018 merupakan pameran yang lebih fokus kepada keselamatan dalam negeri.
Sementara itu, Dato’ Seri Alwi bin Hj Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri berkata, pameran DSA kali ini adalah kali pertama melibatkan kerjasama secara langsung Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan Malaysia; selari dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) jamin keselamatan pameran dan kawasan sekitarnya,” kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi.
KUALA LUMPUR, 13 Apr – Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin mengesahkan kehadiran 23 delegasi tentera laut yang akan hadir ke Pameran DSA 2018.
Pameran DSA 2018 akan berlangsung pada 16 sehingga 19 April 2018 kelak.
Beliau menyatakan perkara tersebut selepas menghadiri Majlis Fair Winds and Following Seas di KD Sri Gombak semalam.
“Kita akan gunakan kesempatan ini untuk ini sebagai peluang mengadakan perbincangan dua hala antara pasukan tentera laut yang menyertai acara empat hari itu,” katanya.
Pameran dwitahunan itu turut menyaksikan kehadiran TLDM sebagai pempamer dan mempunyai pavilionnya sendiri. TLDM akan mempamerkan pelbagai inisiatif terkini angkatan laut itu termasuk aplikasi telefon bimbit K3M 2.0
Aplikasi yang dibangunkan TLDM dan dinaiktaraf daripada versi terdahulu, K3M sebelum ini dilancarkan untuk meningkatkan keselamatan di laut dengan memendekkan masa tindak balas pihak berkuasa seperti TLDM sendiri dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
K3M bermaksud kesedaran, keselamatan dan komuniti.
“Antara ciri-ciri baharu yang diperkenalkan menerusi K3M 2.0 adalah Sea Alert yang berasaskan web yang membolehkan aplikasi itu menggunakan kemudahan satelit untuk menyalurkan maklumat. Ciri-ciri Sea Alert disasarkan penggunaannya kepada syarikat perkapalan dan pelantar minyak,”
Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata Tentera Laut Brunei ada menyatakan hasrat untuk melancarkan aplikasi serupa di negara mereka.
KUALA LUMPUR, 18 Mac – Persiapan pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2018 yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada April depan telah siap hampir 90 peratus.
[blockquote align=”none” author=”Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim”]Ketika ini semua persiapan telah diatur dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan mesyuarat pengurusan dengan pihak syarikat DSA.[/blockquote]
ATM sedang menyiapkan tempat pempamer untuk mempamerkan produk pertahanan mereka manakala daripada segi penyertaan amat luar biasa, ujar beliau lagi.
“DSA kali ini akan diadakan dengan skala yang besar terutama ia akan berlangsung di tempat yang lebih besar iaitu di MITEC dan ia sememangnya akan menarik ramai pengunjung dari dalam dan luar negara di sana nanti,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perkahwinan Perdana Warga ATM di Kem Kementah, semalam.
Kira-kira 1,500 syarikat berkaitan pertahanan dari 60 negara dijangka menyertai DSA 2018 pada 16 hingga 19 April ini.
DSA edisi ke-16 itu, merupakan acara dwitahunan, meletakkan sasaran sehingga 40,000 pelawat termasuk 300 delegasi peringkat tinggi dari luar negara.