LAHAD DATU, 31 Ogos – Pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengingatkan orang ramai supaya tidak menerbangkan dron di sepanjang laluan jelajah Kembara Kenali Borneo terutama di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Komander ESSCom DCP Victor Sanjos berkata hal itu penting bagi memastikan keselamatan semua pihak dalam kembara itu terutama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta rakyat jelata.
“Hanya pasukan keselamatan sahaja yang boleh menggunakan dron untuk tujuan keselamatan. Sebarang tindakan yang melanggar undang-undang boleh mengganggu perjalanan program dan menimbulkan suasana yang tidak baik.
“Saya memohon agar seluruh masyarakat mematuhi perintah dan undang-undang yang dikeluarkan dari semasa ke semasa. Kita akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu yang gagal mematuhi arahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Victor berkata larangan menerbangkan dron di ESSZone dikuatkuasakan sepanjang masa dan bukan hanya ketika Kembara Kenali Borneo sahaja.
Kembara Kenali Borneo pada 3 hingga 13 Sept ini akan bermula dari Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Kuching, melibatkan jarak perjalanan lebih 2,100 kilometer dengan melalui Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. – BERNAMA