KUALA LUMPUR, 11 Nov – Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, partinya tidak menyokong sesiapa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jauh sekali meletak calon proksi.
Beliau berkata, Pejuang sebelum ini telah mengumumkan bahawa tidak akan turut serta dalam PRN Melaka pada 20 November ini.
“Walau bagaimanapun saya dapat tahu ada sesetengah pihak cuba kaitkan Pejuang dan saya dengan individu tertentu yang bertanding sebagai calon bebas,
“Ingin ditegaskan sekali lagi, Pejuang dan saya tidak menyokong sesiapa di dalam PRN Melaka jauh sekali meletak calon proksi,
“Saya harap dengan penjelasan ini tidak lagi ada sesiapa yang akan cuba kaitkan saya, mahupun Pejuang dengan mana-mana calon yang bertanding,” katanya dalam hantaran di media sosial pada Khamis.
Pada 25 Oktober lalu, Pejuang telah membuat keputusan untuk tidak akan mengambil bahagian dalam PRN tersebut.
Pejuang mengambil pendirian tersebut kerana mendakwa PRN diadakan disebabkan oleh permainan politik pihak tertentu yang mahukan kedudukan dan berkepentingan politik semata-mata serta tidak wajar diadakan ketika negara masih lagi berdepan pandemik COVID-19. – airtimes.my