KOTA TINGGI, 5 Nov – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menahan sebuah bot tunda dari Singapura kerana gagal mempamerkan insurans dan dokumen kebenaran bersauh di perairan Johor Timur, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bot tunda itu ditahan dalam satu operasi di kedudukan 5.5 batu nautika timur Tanjung Penawar pada jam 8.45 pagi.
“Bot tunda itu dikendalikan 6 kru warga Indonesia berumur di antara 20 tahun hingga 50 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,
“Pemeriksaan lanjut terhadap dokumen bot mendapati nakhoda telah gagal mempamerkan insurans dan juga mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh,” katanya dalam hantaran di media sosial APMM, hari ini.
Beliau berkata, nakhoda serta Ketua Jurutera bot telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 untuk kesalahan bersauh tanpa kebenaran dan Seksyen 361(6) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 untuk kesalahan gagal mempamerkan dokumen berkaitan polisi insuran maritim,” ujarnya. – airtimes.my