KUALA LUMPUR, 4 Apr – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengalu-alukan kerjasama dan cadangan Hartal Doktor Kontrak untuk memastikan transformasi terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan negara ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa usaha untuk menangani masalah doktor kontrak akan ditangani di pelbagai kementerian.
“Saya juga memahami kekecewaan dan masalah yang dialami kini, jadi saya bersama rakan-rakan di pelbagai kementerian melalui Suruhanjaya Reformasi Kesihatan akan mempercepatkan usaha menangani isu tersebut,” katanya dalam hantaran yang dimuatnaik melalui Facebook rasminya malam tadi.
Pada Isnin, sekretariat Hartal Doktor Kontrak (HDK) memaklumkan bahawa pihaknya tidak terbabit dan tiada sebarang pengaruh secara langsung atau tidak langsung dalam Mogok Doktor Kontrak yang dijadualkan diadakan semalam sehingga Rabu.
Jelas HDK, langkah seterusnya ialah menubuhkan suruhanjaya penjagaan kesihatan negara yang akan menyelia, memutuskan dan menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di dalam negara.
Mengulas lanjut, Zaliha turut berterima kasih kepada gerakan itu kerana menjelaskan pendirian mereka berhubung mogok doktor kontrak baru-baru ini.
Tegasnya, kematangan, kesabaran dan pemahaman mereka dalam menangani masalah itu sememangnya boleh membawa kepada penyelesaian bersama.-airtimes.my