KUALA LUMPUR, 25 Julai – Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) memaklumkan Goldman Sachs bersetuju untuk membayar AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) bagi penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan dengan tiga urus niaga bon yang telah disusun dan diatur oleh Goldman Sachs untuk syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Dengan jumlah penyelesaian ini dan wang yang telah diterima oleh Malaysia dari Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), lebih daripada AS$4.5 bilion akan dikembalikan kepada rakyat Malaysia,
“Sehubungan itu, kerajaan terus komited untuk mendapatkan semula aset-aset lain yang masih belum dikembalikan,” kata MOF dalam satu kenyataan semalam.
Menurut MOF, penyelesaian ini merangkumi pembayaran tunai AS$2.5 bilion dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion dari segi aset yang berkait dengan hasil yang telah diseleweng melalui tiga urus niaga bon tersebut.
“Goldman Sachs, atas biayanya sendiri, juga akan membantu kerajaan Malaysia dalam melantik pakar pemulihan aset untuk mendapatkan kembali aset lain yang kini berada di luar Malaysia,
“Jumlah penyelesaian itu juga merupakan satu peningkatan yang ketara jika dibandingkan dengan tawaran sebelumnya sebanyak AS$1.75 bilion yang dibuat oleh Goldman Sachs kepada pentadbiran kerajaan pada 2019,” ujarnya.
Manakala Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata penyelesaian itu mewakili aset yang merupakan hak rakyat Malaysia.
“Kami yakin persetujuan ini telah berjaya mencapai jumlah pengembalian aset yang jauh lebih banyak daripada Goldman Sachs berbanding nilai yang ditawarkan terdahulu yang jauh di bawah jangkaan,
“Kami juga bersyukur dapat menyelesaikan hal ini di luar sistem pengadilan, yang akan menelan banyak waktu dan sumber kewangan. Dengan penyelesaian ini, kita dapat mempercepatkan pengembalian aset, tanpa melalui proses pengadilan yang tentunya mahal dan rumit,” katanya.
Tambahnya, penyelesaian oleh Goldman Sachs ini juga merupakan satu pengakuan salah laku oleh dua bekas pegawainya dalam skim penipuan dan rasuah 1MDB.
“Penyelesaian ini juga tidak akan menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap Jho Low dan individu lain yang berkaitan dengan skandal penyelewengan 1MDB,
“Kementerian Kewangan turut melahirkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan anggota pasukan perundingan atas usaha mereka selama seminggu dalam menyelesaikan penyelesaian berkenaan,” jelasnya.
Sementara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik pengumuman mengenai penyelesian kes tersebut di antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs.
“Kerajaan komited untuk meneruskan usaha mendapatkan semula aset-aset lain berkaitan 1MDB dan meneruskan tuntutan-tuntutan terhadap individu dan pihak yang berkaitan dengan skandal penyelewengan 1MDB,” katanya. – airtimes.my