[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=at-SAtHT_e8[/embedyt]
IPOH, 15 Mei – Kejayaan ini adalah berkat doa dan restu daripada keluarga yang sentiasa memberi sokongan untuk saya terus kuat serta berjaya, kata Perajurit Muda Udara (PjM U) Muhammad Syakir Irfan Mohammad Hafiz.
Berpegang teguh kepada prinsip ‘doa ibu bapa adalah segalanya’ dan disulami dengan kebolehan, kesungguhan yang tinggi dalam aspek kepimpinan, penglibatan serta komitmen yang dipamerkan sepanjang tempoh latihan, Muhammad Syakir telah dinobatkan sebagai Perajurit Muda Udara Terbaik Keseluruhan Siri 64/21.
Pada masa yang sama, cita-cita anak jati kelahiran Ipoh ini turut mendapat restu dan sokongan daripada ibu bapanya.
“Sepanjang 7 bulan di sini, ibu bapa saya selalu berpesan jangan lupakan solat, jangan lupakan untuk berdoa kepada ibu bapa,
“Ibu selalu berpesan bila berjaya nanti jangan lupakan solat dan ingatlah ibu, ayah serta keluarga. Itu membuatkan saya terus kuat jalani latihan di sini,” ujarnya ketika ditemui Air Times.
Anugerah telah disampaikan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM ketika upacara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara Siri 64/20 di Padang Kawad, Akademi Tentera Udara (ATU), pada Sabtu.
Muhammad Syakir merupakan antara 365 pelatih yang telah menjalani latihan selama 24 minggu bermula pada 27 Oktober tahun lalu.
Beliau yang menerima Piala Pusingan Panglima Tentera Udara ini menjelaskan, impian untuk menceburi kerjaya dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah berputik semenjak di bangku sekolah.
Sementara itu, ibu kepada Muhammad Syakir, Puan Mazuriana Nasaruddin berkata, anugerah yang dirangkulnya ini merupakan kejutan yang tidak disangka.
“Syakir memang tidak maklumkan mendapat anugerah ini cuma dia (Syakir) pesan pada saya nanti datang dengan berpakaian kemas kerana ada sesuatu akan diberitahu,
“Bila kami sampai di sini barulah tahu bahawa dia akan menerima anugerah pelatih keseluruhan terbaik,” jelasnya yang turut berasa syukur dan teruja dengan kejayaan Syakir.
Ibu kepada 7 orang cahaya mata ini juga berharap agar anak keduanya dapat memikul tanggungjawab dan amanah dengan sebaiknya.
“Harapan saya selepas ini agar Syakir jangan tinggalkan solat, mendengar cakap ibu bapa dan taatlah pada semua perintah yang ditetapkan,
“Kami sekeluarga berharap Syakir boleh pikul tanggungjawab ini sampai ke hujungnya. Itulah harapan kami dan saya sentiasa mendoakan kejayaan dia,” jelasnya.
Manakala, Mohammad Hafiz Yazid turut menitipkan pesanan kepada semua Perajurit Muda Tentera Udara yang lain dan terutamanya Syakir agar tekun dalam menjalankan tugasan harian serta patuh kepada arahan pihak atasan.
“Kepada Syakir ataupun kepada sesiapa Perajurit Muda Udara yang lain supaya tekun bekerja, sentiasa ingat Allah, hormat kepada orang tua, hormat kepada barisan-barisan ketua demi negara, agama dan bangsa,
“Selain itu, sentiasa ingat Allah yang satu. Ingat perjuangan, ingat apa yang kita bawa. Bina kerjaya sehingga akhir nyawa,” ujarnya.
Terdahulu, Panglima Tentera Udara telah menyaksikan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TUDM yang turut dihadiri ahli keluarga pelatih setelah 2 siri perbarisan tamat latihan dilaksanakan secara tertutup berikutan pandemik COVID-19 di dalam negara.
Selesai perbarisan, upacara yang dihadiri sekitar 1,200 jemputan ini turut dimeriahkan dengan persembahan Pertunjukan Payung Terjun daripada Pasukan Khas TUDM (PASKAU), Kawad Formasi dan nyanyian daripada Pancaragam Gabungan Angkatan Tentera Udara (ATU) dan Pancaragam Kolej Tentera Udara (KTU).
Selain itu, turut dipersembahan senaman perang dan persembahan gimnastik D’Fearless Hawk yang terdiri daripada PjM U serta pameran dan jualan daripada pelbagai agensi.-airtimes.my