KUALA LUMPUR, 13 Sept – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM hari ini menegaskan aspek diplomasi dan keupayaan cegah rintang adalah dua faktor yang berkait rapat dalam hubungan antarabangsa.
“Keupayaan cegah rintang bukanlah alternatif kepada diplomasi dan diplomasi pula bukan pengganti kepada aspek cegah rintang,
“Kedua-dua aspek ini perlu bergerak seiring,” katanya semasa Wawancara Khas Media Bersama Panglima Angkatan Tentera di Wisma Perwira hari ini.
Menurut beliau, aspek diplomasi tidak akan berkesan sekiranya keupayaan cegah rintang tiada.
“Dengan mempunyai aspek cegah rintang, pendekatan diplomasi akan menjadi sesuatu yang amat berkesan,
“Malah negara yang mempunyai keupayaan tinggi turut menggunakan diplomasi sebagai pilihan utama,
“Tetapi, diplomasi berkesan kerana mempunyai aspek cegah rintang yang tinggi,” ujar beliau.
Tambahnya, suara sesebuah negara pasti akan diambil perhatian sekiranya mereka mempunyai keupayaan cegah rintang yang baik.
Aspek cegah rintang merupakan konsep untuk menghindarkan bakal musuh dari mengamalkan dasar-dasar yang bertentangan dengan langkah penyelesaian konflik secara aman. Keupayaan ini memerlukan pelaksanaan strategi pencegahan.
Keupayaan ini juga adalah perlu bagi menghalang sebarang tindakan kekerasan atau keganasan oleh kuasa luar terhadap negara.
Semasa Persidangan Keselamatan Negara 2022 belangsung di Putrajaya, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany menegaskan keupayaan pertahanan negara yang ampuh merupakan kunci kepada kedaulatan negara.
Dalam sesi plenari persidangan, Mohd Reza menyatakan penjajaran semula pembangunan keupayaan pertahanan dan kerjasama semua pihak antara aspek yang perlu dicapai.
“Sekiranya kita mampu untuk capai kedua-dua aspek tersebut, saya yakin ATM bukan sahaja berkeupayaan untuk lunjurkan kuasa ketenteraannya,
“Ia turut dapat mengimbangi kuasa diplomatik yang dihasratkan oleh negara. Theodore Roosevelt pernah berkata speak softly but carry a big stick,” katanya.
Beliau turut memetik ungkapan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat ke-26, Theodore Roosevelt yang berbunyi ‘Speak softly and carry a big stick, then you will go further’. – airtimes.my