KUANTAN, 26 Okt – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan latihan guguran udara dalam Eksesais PARADISE 8/21 bagi menilai dan menguji anggota dari aspek teknikal, kompetensi serta kecekapan ketika melaksanakan operasi pengguguran udara.
TUDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, eksesais juga untuk mengekalkan kompetensi dan tahap kesiapsiagaan juruterbang, anak-anak kapal dan anggota dalam melaksanakan operasi tersebut.
Pesawat C130H dari No 20 Skuadron telah melaksanakan guguran udara melibatkan 1 tan peralatan ketenteraan ke kawasan operasi yang telah digazetkan sebagai zon pengguguran (DZ), semalam.
“Skuadron Hantaran Udara (SHU) TUDM turut memainkan peranan penting dalam latihan ini iaitu perlu memastikan bekalan muatan tersebut sampai ke pasukan barisan hadapan dengan pantas dan berkesan agar operasi ketenteraan yang dirancang dapat dilaksanakan,
“Latihan ini juga turut melibatkan bantuan dan sokongan dari Platun Hantaran Udara 10 Briged Para, Tentera Darat Malaysia (TDM) yang mana pasukan ini membantu dalam proses rigging dan penyediaan payung kargo serta peralatan untuk pengguguran,” katanya.
Menurutnya, antara teknik pengguguran udara yang digunakan dalam latihan ini adalah Heavy Equipment (HE), Container Delivery System (CDS) dan Low Cost Low Altitude (LCLA).
“Teknik-teknik pengguguran seperti ini amat berguna bukan sahaja semasa melaksanakan operasi ketenteraan tetapi juga sangat penting ketika menghadapi bencana alam,
“Sebagai contoh, menggugurkan bekalan muatan yang mengandungi peralatan perubatan atau bekalan makanan di kawasan yang terputus hubungan laluan darat akibat banjir atau tanah runtuh,” jelasnya.
Eksesais Paradise 8/21 (Paradrop, Air Defence, Deep Strike, Insertion, Combat Search & Rescue and Extraction) telah bermula pada 22 hingga 2 November depan di beberapa kawasan sekitar ruang udara Semenanjung Malaysia yang telah digazetkan untuk lokasi eksesais.
“Latihan ini diadakan bagi memastikan keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan sentiasa berada di tahap terbaik khususnya dalam melindungi kedaulatan ruang udara negara,” ujar TUDM. -airtimes.my