KUALA LUMPUR, 28 Julai – Ketua Dewan Himpunan Pendukung Pas Pusat (DHPP), N Balasubramaniam menggesa Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu memperbetulkan kenyataan dalam hujahnya di Parlimen yang menyamakan Nabi Muhammad SAW sebagai pelarian, semalam.
Beliau berkata kenyataan Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu boleh mengelirukan masyarakat umum khasnya mereka yang bukan beragama Islam.
“Semasa mengikuti kursus Sijil Asas kefahaman Islam, saya diajar bahawa Nabi Muhammad SAW berhijrah (Perpindahan) dari Mekah ke Madinah bukan pelarian,
“Kaum musyrikin Mekah merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW, maka dengan sebab itu, Allah SWT perintahkan Nabi SAW (menerima wahyu) agar keluar berhijrah dan meninggalkan tanah airnya (Mekah),
“Beliau menetap di Madinah selama 10 tahun lalu wafat ketika berusia 63 tahun,” katanya dalam hantaran Facebooknya semalam.
Semalam, Mohamad ketika membahaskan usul titah diraja di Dewan Rakyat berkata, tidak semua pelarian harus dihina apatah lagi sejarah menunjukkan bahawa Islam itu sendiri ditegakkan oleh golongan pelarian termasuk Nabi Muhammad SAW sendiri ketika berhijrah dari Mekah ke Madinah akibat penindasan.
“Pelarian ini kita kena ada kategori, jangan kita menghina semua pelarian, …jangan lupa Islam ditegakkan oleh para pelarian khasnya Nabi Muhammad SAW dan Nabi Musa ketika memimpin pelarian dari Mesir untuk diselamatkan daripada Firaun,
“Sebab itu, antara pelarian ini kita kena jaga jangan borongkan mereka sebagai sama, pelarian ekonomi, tekanan politik atau cari makan itu lain. Ada yang kata kena tenggelamkan mereka dilaut, …bayangkan itu kalau itu yang berlaku kepada keluarga Nabi,
“Jangan kita lupa sejarah. Jangan kita anggap kita lupa Islam itu ditegakkan oleh para pelarian, khasnya Nabi Muhammad SAW yang menjadi pelarian atau berhijrah dari Mekah ke Madinah,” katanya.
Bagaimanapun, ucapan Mohamad itu dibantah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari untuk menarik balik kenyataan berkenaan yang disifatkan mengelirukan dewan dan Islam.
“Sebut (Nabi Muhammad) sebagai pelarian sedikit bermasalah dari sudut tafsiran dan definisi,
“Ini kerana (Nabi) Muhammad bukan pelarian, tetapi berhijrah ke Madinah kerana dijemput oleh penduduk Madinah dan dilantik menjadi pemimpin Madinah,” Ahmad Fadli semalam.-airtimes.my