PUTRAJAYA, 25 Apr – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan penghormatan terakhir kepada Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa di kediaman arwah di Presint 10, pagi tadi.
Terdahulu, Ismail Sabri tiba di rumah Ali kira-kira 9.42 pagi dan bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham untuk bertanya khabar, sebelum meninggalkan kediaman tersebut pada kira-kira 10.06 pagi.
Turut menziarahi jenazah di kediaman antaranya Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan.
Allahyarham Ali, 66, yang berkhidmat sebagai KSN ke-13 selama 6 tahun dari 2012, meninggal dunia di Hospital Dublin, Ireland pada 21 April lepas.
Penerbangan yang membawa jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira 6.30 pagi.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3 di sini untuk penghormatan terakhir di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni dari pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari.
Kemudian jenazah akan disembahyangkan selepas solat zohor di Dewan Solat Utama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan akaan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya. -airtimes.my