KUALA LUMPUR, 17 OKT– Kerajaan terus memperketat kawalan di pintu masuk utama negara bagi membanteras sindiket yang membawa masuk warga asing secara haram melalui modus operandi mengatur kaunter (‘counter setting’), yang turut melibatkan pegawai penguatkuasa.
Tindakan ini adalah sebahagian daripada usaha tegas Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memastikan integriti dikekalkan di semua peringkat penguatkuasaan.
Menterinya, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguatkuasa lain terus giat membanteras sindiket berkenaan melalui usaha bersama.
“Sehingga Oktober 2024, sebanyak 47 sindiket berjaya ditumpaskan, melibatkan 1,285 tangkapan ahli sindiket dan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Di peringkat JIM pula, seramai 300 pegawai yang terlibat dalam kesalahan tatatertib atas pelanggaran integriti telah dikenakan tindakan,” jelasnya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian semasa sesi penerangan menteri mengenai perkembangan dan tindakan di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan operandi ‘counter setting’ yang turut didalangi penguatkuasa agensi.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kawalan di pintu masuk utama Malaysia turut diperketatkan dengan memperkasakan sistem saringan syarat kelayakan dan mewujudkan pasukan rondaan bagi mengesan pengembara yang masuk melalui sindiket haram.
“Sehingga September lalu, seramai 25,214 warga asing telah dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) manakala 6,694 pengembara disekat kerana tidak mempunyai tempat tinggal dan wang mencukupi,” kata Saifuddin.
Katanya kini, JIM sedang menaik taraf kamera litar tertutup (CCTV) di kaunter imigresen dan memuktamadkan sistem saringan awal penumpang, “Advance Passenger Screening System” bagi membolehkan saringan dilakukan sebelum pengembara tiba ke Malaysia. – airtimes.my