KUALA LUMPUR, 5 OKT – Orang ramai di sekitar Lumut, Manjung termasuk Sitiawan dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbang rendah atau terdengar bunyi letupan bermula hari ini sehingga 10 Oktober 2023.
Bahagaian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) memaklumkan, ia kerana ATM sedang melaksanakan persiapan bagi sambutan Hari Angkatan Malaysia Ke-90 yang akan diadakan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada 10 Oktober ini dengan persembahan perbarisan tempur statik dan demonstrasi keupayaan ATM.
Menurut kenyataan itu, ia akan melibatkan penerbangan taktikal paras rendah beberapa pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter milik ATM, disertai demonstrasi melibatkan bahan letupan.
“Raptai atau latihan bagi persiapan acara ini akan bermula hari ini,
“Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas sekiranya melihat pesawat-pesawat ATM terbang rendah atau terdengar bunyi letupan sepanjang tempoh tersebut,” jelas MPA Barat lagi.
Sementara itu, orang ramai juga turut dijemput ke Karnival Hari ATM 2023 di Pangkalan TLDM Lumut pada 13 hingga 15 Okt dengan pelbagai aktiviti serta pameran ditampilkan, yang melibatkan cabang darat, laut dan udara dalam ATM. -airtimes.my