KUALA LUMPUR, 27 Jun – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegaskan hasrat kerjasama penerbit dari China untuk menerbitkan ‘Buku Biru’ mengenai sejarah dan pembangunan Malaysia perlu dilakukan secara bersama dengan penglibatan pakar dan ahli akademik kedua-dua negara.
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom berkata ini bagi memastikan penerbitan yang dihasilkan itu memenuhi kehendak dan matlamat kedua-dua belah pihak serta ditulis berdasarkan fakta dan maklumat yang tepat dan betul.
“Penulisan sejarah dan pembangunan negara ini tidak boleh ditulis sewenang-wenangnya, khususnya oleh ahli akademik luar negara yang memungkinkan manipulasi fakta tanpa mengira perspektif sarjana dan sejarawan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menarik perhatian bahawa pada majlis penyerahan manuskrip ‘Tafsiran Ekonomi Baharu Republik China’ di ibu negara baru-baru ini, DBP dengan jelas menyatakan tidak akan membiarkan pakar China menulis mengenai sejarah dan pembangunan Malaysia tanpa penglibatan pakar tempatan.
Mohamed Hatta seterusnya berkata DBP akan menghimpunkan pakar dan ahli akademik negara ini untuk memberi sumbangan dan idea dalam menjayakan kerjasama penerbitan itu.
“Malah kerjasama ini boleh diperluas dalam penulisan mengenai kedua-dua negara dari segi ekonomi, budaya, bahasa, sejarah, sains dan teknologi,” katanya – Bernama