KUALA LUMPUR, 15 Jun – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini telah berkenan menerima menghadap seramai 18 pemimpin parti politik secara bersemuka dan maya di Istana Negara, bermula 9 Jun hingga hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tun Arifin Zakaria pagi tadi.
Menurutnya, dalam sesi-sesi menghadap para pemimpin para parti politik, Baginda telah berkenan mendengar pandangan-pandangan dari mereka tentang pelbagai isu.
“Perlu diperjelaskan di sini bahawa sesi-sesi menghadap para pemimpin parti politik adalah atas inisiatif serta keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda dan berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 serta pelaksanaannya semasa tempoh darurat,
“Susulan sesi-sesi menghadap ini, pandangan-pandangan yang telah dikemukakan oleh para pemimpin parti politik akan diwasilkan di Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok, yang bermula pada jam 2.30 petang,” katanya.
Selain itu, beberapa pakar dan agensi-agensi kerajaan turut dijadualkan memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara di Perbincagan Khas Raja-Raja Melayu esok.
Esok, tumpuan bakal terarah kepada Perbincagan Khas Raja-Raja Melayu yang akan diadakan di Istana Negara bagi membincangkan isu berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.
Perbincagan khas ini adalah kali kedua seumpamanya diadakan di Istana Negara sejak Baginda menaiki tahta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019.
Kali pertama Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu telah dianjurkan dan berlangsung pada 25 Oktober 2020 di Istana Negara.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghadap sembah kepada Yang di-Pertuan Agong pada jam 3.30 petang tadi.
Ini merupakan sembah maklum kedua Perdana Menteri dalam tempoh seminggu selepas kali terakhir adalah pada Rabu lalu. -airtimes.my