KUALA LUMPUR, 27 JUN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan Malaysia akan meneruskan usaha melalui apa-apa jua cara bagi menentang eksploitasi dan penyalahgunaan sistem timbang tara antarabangsa yang mengancam kedaulatan negara.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, Kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti dalam usaha untuk melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara.
Anwar Ibrahim mengulas keputusan Mahkamah Rayuan The Hague yang menolak pengiktirafan Final Award yang dikeluarkan oleh berjumlah hampir USD15 bilion yang dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa.
“Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague ini merupakan satu lagi kemenangan penting kepada Kerajaan Malaysia rentetan daripada keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023,
“Kerajaan Malaysia yakin bahawa dengan keputusan ini, Kerajaan adalah semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya Final Award yang tidak sah dan disalahgunakan oleh Pihak yang Menuntut yang berjumlah hampir USD15 bilion yang dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa,
“Ini sekaligus menjadikan tuntutan tersebut hanyalah sebagai sebahagian daripada sejarah,
“Malaysia percaya bahawa keputusan Mahkamah Rayuan The Hague pada hari ini, bersama-sama dengan keputusan Mahkamah Rayuan Paris baru-baru ini akan menamatkan usaha sia-sia Pihak yang Menuntut untuk menguatkuasakan Final Award di negara-negara lain,” kata kenyataan itu.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri menegaskan kes tuntutan Sulu ini membuktikan bahawa terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia yang merupakan suatu perkara penting bagi setiap warganegara Malaysia MADANI.
“ Kerajaan Malaysia yakin bahawa ia dapat menegakkan keadilan bagi seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – airtimes.my