SRI AMAN, 28 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya membantu menyesaikan masalah gangguan air yang meresahkan penduduk di rumah panjang Pantu di sini, sejak 30 tahun lalu.
Projek Bekalan Air Luar Bandar di Kampung Sungai Besai Asal dan Kampung Selanjan Sebemban, Sri Aman adalah merupakan kerjasama di antara tentera dan penduduk kampung yang dikoordinasikan oleh pasukan Skuadron Ke-3 Rejimen Askar Jurutera Diraja (3 Skn RAJD).
Keseluruhannya, inisiatif itu membabitkan peruntukan RM37,500 disalurkan Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat, yang dilaksanakan bermula 14 Ogos hingga 12 September tahun lalu.
Menurut Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Toh Choon Siang yang berkata projek itu membabitkan penyertaan 17 anggota di bawah seliaan seorang pegawai dari 3 Skn RAJD dari Divisyen Pertama Infantri Malaysia.
Katanya, pasukan itu menggalas tanggungjawab membina empangan mini dan menukar paip air graviti di sungai yang terletak sejauh 1.5 kilometer dari Rumah Panjang Sungai Besai Asal.
“Hasilnya, 300 penduduk dari Sungai Besai Asal, termasuk dari Rumah Panjang Ritchell Sidi dan Rumah Panjang Iben Gawan kini sudah menikmati bekalan air bersih tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Jiwa Murni Paip Air Graviti, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang; Pegawai Memerintah 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Pakit, Leftenan Kolonel Mislani Auverto @ Suwarto dan Komander Rejimen Jurutera, Kolonel Shahrudin Mohd Noh.
Choon Siang berkata ATM hanya menyediakan tenaga kerja dan kepakaran melalui pelaksanaan Program Jiwa Murni terhadap penduduk yang memohon bantuan daripada kami.
“Justeru, saya mengalu-alukan penduduk memohon bantuan ATM jika mereka memerlukan tenaga kerja dan kepakaran pihak kami untuk melaksana projek di penempatan mereka kelak,” jelas Choon Siang.