KUALA LUMPUR, 27 Okt – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta mempertegaskan sokongan kesemua 18 Ahli Parlimen PAS bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata, kerajaan PN yang ada sekarang ini adalah kerajaan prihatin serta bertindak memastikan keselamatan, kehidupan ekonomi serta ketenteraman negara dan rakyat terjamin.
“PAS menjunjung kasih ke hadapan Yang di-Pertuan Agong atas kebersamaan baginda dengan kerajaan dalam usaha gigih menguruskan dan menanganipenularan pandemik COVID-19 yang menjejaskan kehidupan rakyat jelata,
“Pada masa yang sama, PAS menyeru seluruh rakan-rakan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk terus istiqamah mempertahankan kepimpinan YAB Perdana Menteri dan Kerajaan PN yang dibina bersama di atas keruntuhan Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Takiyuddin juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berdoa serta memohon perlindungan berterusan daripada Tuhan supaya dihapuskan wabak COVID-19 dengan segera dan negara kita kembali selamat, aman dan bersatu-padu.
Semalam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk kekal menyokong kerajaan PN.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi menggesa prinsip kerjasama berpaksikan nilai penghormatan dan persetujuan bersama dalam politik (political consensus) perlu ditambah baik.
“Kita menyarankan agar inisiatif Rekonsiliasi Nasional atau Agenda Perdamaian Nasional segera dilaksanakan dengan melibatkan penyertaan kesemua parti bernaung di bawah PN serta parti pembangkang,” katanya.
Pada masa yang sama, MKT UMNO mengekalkan keputusan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP). – airtimes.my