[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=IjVwx05trpo[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 11 Nov – Sidang Dewan Rakyat hari ini gamat apabila Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan pendirian beliau bahawa Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ‘takut mati’.
Dalam perbahasan beliau, Tiong mengkritik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang gagal mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas.
“Pada pandangan saya, peningkatan kes bukan kerana rakyat tidak berkerjasama tetapi KKM mempunyai kelemahannya,” katanya.
Beliau menambah, kluster kes COVID-19 diumumkan dari hari ke hari tetapi tiada usaha dilakukan untuk menyekat pergerakan yang terlibat.
“Kita (KKM) hari-hari umum kluster. Kenapa tidak lockdown kluster dan lakukan saringan kepada semua kontak rapat, penduduk satu kampung atau taman,
“Sepatutnya mereka tidak dibiarkan bergerak ke mana-mana sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan kes,” ujarnya.
Tiong turut mempersoalkan peranan Ketua Pengarah Kesihatan dan timbalannya yang dilihat hanya sekadar menyampaikan berita perkembangan kes.
“Untuk buat berita, staf di pejabat boleh buat. Kenapa Ketua Pengarah Kesihatan tidak turun padang?
“Sepatutnya datang melawat setiap hospital, berbincang dan memberi sokongan moral kepada para frontliner yang bertugas,
“Jangan hantar doktor dan jururawat semata-mata kerana mereka tak takut mati. Ketua Pengarah Kesihatan tak pergi sebab takut mati, timbalan pun tidak pergi,
“Apa sudah jadi? Tak perlu nak buat publisiti hari-hari,” tegas Tiong.
Kenyataan oleh Ahli Parlimen Bintulu itu mengundang kritikan dari Ahli Parlimen Pembangkang yang menganggap kata-kata Tiong melampaui batas dan tidak menghormati Noor Hisham. – airtimes.my