SUNGAI BESAR, 18 Jul – Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bersedia melepaskan jawatan sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat memandangkan Tengku Zafrul mempunyai latar belakang perbankan dan lebih pakar dalam pengurusan kewangan.
“Saya ingin menggesa kepimpinan BN Negeri Selangor mempertimbangan cadangan ini untuk segera melantik Tengku Zafrul sebagai Bendahari sejurus selepas saya meletak jawatan,
“BN Selangor sangat memerlukan seorang individu berkarisma seperti beliau (Tengku Zafrul) bagi berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sangat mencabar,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Tambahnya lagi, pelepasan jawatannya kepada Tengku Zafrul adalah bukti keikhlasan beliau bagi melihat BN Selangor diterajui oleh kepimpinan dalam kalangan yang profesional dan berkarisma.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa jawatan tersebut telah dipegang olehnya sejak 2019. – airtimes.my