KOTA KINABALU, 20 Mac – Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah telah mengiktiraf dan menghargai khidmat bakti yang dicurahkan oleh warga Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dalam menangani pandemik COVID-19.
5 Div menerusi hantaran di media sosialnya berkata, Panglima 5 Div, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid telah mendahului senarai penerima sijil penghargaan tersebut yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu.
“Penghargaan daripada kerajaan Negeri Sabah ini membuktikan keupayaan 5 Div dalam melaksanakan penugasan serta bekerjasama bersama agensi-agensi awam,
“Seiring dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat (PTD) ke-28,” kata hantaran itu pada Sabtu.
Terdahulu, Panglima 5 Div turut menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (COVID-19) yang dilaksanakan secara bersemuka buat julung kalinya setelah 2 tahun ianya dilaksanakan secara maya. – airtimes.my