KUALA LUMPUR, 25 MAC – Persoalan mengenai Kertas Putih Pertahanan (KPP) dijangka akan dijawab di Dewan Rakyat pada hari ini.
Ia merupakan antara soalan yang diajukan dalam Sesi Soal Jawab Lisan.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat hari ini, soalan mengenai KPP telah diajukan oleh wakil rakyat Sibu, Oscar Ling Chai Yew.
“Minta Menteri Pertahanan menyatakan senarai terperinci langkah-langkah yang telah dilaksanakan
seperti digariskan di bawah KPP dari tahun 2019 hingga 2023,” katanya.
Soalan tersebut merupakan giliran ketiga dalam sesi soal jawab lisan yang dijangka akan dijawab oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin atau Timbalannya, Adly Zahari.
Pada Januari lalu, Menteri Pertahanan menyatakan Kajian Separuh Penggal KPP akan dilaksanakan pada tahun ini dengan memberi fokus kepada perancangan pertahanan yang lebih terkini serta mengambil kira keadaan global.
KPP telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Disember 2019 oleh Menteri Pertahanan pada ketika itu, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Ia merupakan dokumen yang menetapkan hala tuju Kerajaan Malaysia dalam melindungi kepentingan negara serta mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah.
Dokumen tersebut menggariskan komitmen dan keutamaan Kerajaan yang digariskan bagi tempoh 10 tahun iaitu dari 2019-2030. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Parlimen