KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Bekas Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh dilantik sebagai Pengerusi SPR yang baharu berkuatkuasa hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Abdul Ghani telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Pelantikan itu mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan berkuatkuasa hari ini sehingga mencapai usia 66 tahun selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau menggantikan Datuk Azhar Harun yang mengosongkan jawatan tersebut pada 29 Jun untuk mengambil alih jawatan speaker Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Mohd Zuki turut memaklumkan, bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus pula dilantik sebagai Ahli SPR berkuat kuasa tarikh yang sama.
“Dengan kelayakan dan pengalaman yang dimiliki, diyakini mereka akan dapat menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai Pengerusi dan Ahli SPR mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dengan sempurna,
“Kerajaan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Ramlan Ibrahim atas khidmat bakti sepanjang menjawat jawatan masing-masing sebagai Pengerusi dan Ahli SPR,” katanya.
Pengerusi SPR ini dilahirkan pada 10 Mei 1958 di Kuala Kurau, Perak berkelulusan Ijazah Sarjana dan berumur 62 tahun serta berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan dan Pemasaran daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Sepanjang perkhidmatan, beliau telah memegang beberapa jawatan antaranya sebagai Yang di-Pertua Majlis Daerah Kuala Langat, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat dan Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Pegawai Daerah Gombak, Selangor,
“Jawatan terakhir beliau sebelum bersara wajib pada 10 Mei 2018 adalah sebagai Setiausaha SPR,” ujarnya.
Sementara itu, Nik Ali pula dilahirkan pada 19 Mei 1958 di Kelantan, berumur 62 tahun dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Asia Tenggara daripada Universiti Malaya pada tahun 1981 dan Ijazah Sarjana daripada University of Hull, United Kingdom pada tahun 1991.
“Sepanjang perkhidmatan, beliau telah memegang beberapa jawatan antaranya sebagai Penolong Pengarah di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Pengerusi Eksekutif, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Pengarah, Unit Pemulihan Pasca Banjir, Jabatan Perdana Menteri,
“Jawatan terakhir beliau sebelum bersara wajib pada 19 Mei 2018 adalah sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi,” jelas kenyataan itu. – airtimes.my